Friday 8 July 2011

33 Maut Kereta Api Rempuh Bas

KEADAAN bas yang dilanggar keretapi di Lucknow ketika membawa rombongan pengantin, semalam. - Foto AFP
KEADAAN bas yang dilanggar keretapi di Lucknow ketika membawa rombongan pengantin, semalam. - Foto AFP
Pemandu bawa rombongan perkahwinan tidak perasan isyarat berhenti

LUCKNOW: Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh semalam apabila sebuah kereta api terlanggar sebuah bas yang membawa rombongan perkahwinan di utara India, kata polis dan pihak berkuasa. 

Kemalangan berlaku pada waktu tengah malam di sebuah persimpangan di kawasan luar bandar Uttar Pradesh.
“Seramai 33 orang terbunuh dan 24 yang lain cedera,” kata pegawai polis tempatan, Rishi Bal Singh kepada AFP melalui telefon. Semua mangsa dipercayai berada dalam bas yang membawa sekurang-kurangnya 70 orang penumpang.

Mereka yang cedera, termasuk mengalami kecederaan parah di kepala dan dada dibawa ke hospital daerah berhampiran kira-kira 30 kilometer dari tempat kemalangan. 

“Pihak kami sudah bercakap dengan mangsa yang terselamat untuk mendapat maklumat lanjut. Keterangan mereka menunjukkan bahawa pemandu bas terbabit sama ada tidak melihat isyarat atau mendengar kereta api apabila beliau memutuskan untuk melintas,” kata penyelia hospital, SK Seth kepada AFP. 

Bas yang lebih muatan itu membawa rombongan pengantin lelaki pulang dari sebuah majlis perkahwinan apabila ia dilanggar kereta api terbabit pada awal pagi semalam. 

Rakaman stesen televisyen rangkaian NDTV dari tempat kemalangan, kira-kira 300 km dari barat laut Lucknow, tenggara New Delhi menunjukkan kesan kemalangan di landasan dan pegawai polis membawa mayat yang ditutup dengan selimut dan dibawa dengan pengusung. 
Pengantin lelaki dan perempuan yang berada di belakang bas menaiki jip bagaimanapun terselamat. 

Sistem kereta api India masih lagi dalam bentuk perjalanan jarak jauh walaupun adanya saingan daripada syarikat penerbangan persendirian baru, membawa 18.5 juta penduduk setiap hari. 

Beratus-ratus kemalangan kereta api dilaporkan setiap tahun tetapi kemalangan ini disifatkan paling dahsyat sepanjang 2011. 

Pejabat Perdana Menteri, Manmohan Singh mengumumkan pampasan kepada mangsa bernilai 200,000 rupee (RM13,519) bagi setiap keluarga mangsa yang maut dan 50,000 rupee (RM3,379) bagi mereka yang cedera. 

Pada Mei tahun lalu hampir 150 orang terbunuh apabila sebuah kereta api ekspres penumpang ke Mumbai dari Kolkata tergelincir dari landasan dan berlanggar dengan keretapi dari arah bertentangan selepas dipercayai berlaku sabotaj oleh pihak tertentu. 

Pada Julai 2010 lebih 60 orang terbunuh dan 165 cedera apabila sebuah kereta api ekspres merempuh sebuah kereta api penumpang di stesen di West Bengal. 

Kemalangan paling buruk dalam sejarah di India adalah pada 1981 apabila sebuah kereta api menjunam ke sebuah sungai dalam kejadian di Bihar menyebabkan kira-kira 800 penumpang terbunuh. – AFP 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Archive

LinkWithin

LinkWithin

PunchTab