Thursday, 11 August 2011

Aaron Aziz Berlakon Dalam Filem Hollywood Dengan Pelakon Kill Bill


Sebelum berangkat mengerjakan umrah di Makkah dua minggu lalu, pelakon utama filem KL Gangster ini telah memastikan beliau tidak menandatangani sebarang kontrak yang boleh membuatnya berada dalam keadaan 'terikat' atau 'terhutang' perjanjian dengan mana-mana pihak. Walhal berderet- deret kontrak menantinya.

Alasannya: Aaron mahu menjalani ibadah dengan tenang, tanpa gangguan kerja, tak kira berapa besar tawaran wang diberikan. Tetapi, sebaik pulang ke tanahair, beliau tidak mempunyai alasan lagi untuk menolak.

Antara tawaran yang besar termasuklah pembabitannya dalam filem Inggeris, Prince Of The City, berlakon di samping aktor Michael Madsen, yang popular dari filem Hollywood, Kill Bill.

Filem yang menggunakan bahasa Inggeris 100 peratus terbitan syarikat Existline Entertainment itu akan menjalani penggambaran di beberapa negara Asia, diarahkan oleh sutradara asing dan dijangka dipasarkan di luar negeri. Aaron berlakon sebagai pembunuh upahan yang bertugas di bawah arahan Michael Madsen.

Ketika ditemui dua hari selepas pulang dari mengerjakan umrah, Aaron berkata penerbit filem tersebut telah menantinya beberapa minggu sebelum keberangkatannya ke Makkah bersama isterinya.

'Mereka bersungguh-sungguh mahu saya tanda tangan kontrak sebelum saya berangkat. Tetapi saya dah tanamkan niat... saya tak mahu terikat dengan apa-apa perjanjian. Kalau umur tak panjang macam mana? Saya tak mahu berhutang apa- apa semasa menjalani ibadah. Memang saya langsung tak buka komputer atau layankan telefon semasa di Makkah,' kata Aaron yang mengakui sudah memberi persetujuan secara lisan untuk menjayakan filem tersebut.

Selain filem itu, Aaron juga akan menjayakan teater Badai Semalam berdasarkan novel Khadijah Hashim, arahan Erma Fatima - tawaran yang pernah cuba beliau tolak tetapi akhirnya bersetuju memandangkan teater itu dijangka dibawa ke Esplanade Teater Di Pesisiran tahun depan selepas dipentaskan di Istana Budaya di Kuala Lumpur dari 11 hingga 20 November ini. Beliau akan membawa watak utama, Karim, di samping Erra Fazira yang membawa watak Mazni.

Selain itu, Aaron juga akan menjayakan filem KL Gangster 2, yang merupakan prekual filem pertama arahan Syamsul Yusof itu. Mengenai kejayaan filem itu mengutip RM12 juta, Aaron akui tidak pernah menduganya.

'Peminat beritahu, mereka menonton filem itu dua tiga kali. Saya rasa filem itu berjaya kerana ada keikhlasan dalam diri semua pelakon. Kami diberi kebebasan menggunakan dialog sendiri, berdasarkan apa yang kami rasa selesa,' ujar pelakon yang terus meletup namanya dengan kemunculan siri drama Nora Elena, yang mendapat rating tertinggi di TV3.


Berkongsi sedikit pengalamannya menziarahi tempat-tempat menarik di Tanah Suci, Aaron berkata beliau tidak dapat melupakan saat indah ketika berada di Masjid Nabawi.
'Terasa kerdil diri mengenangkan perjuangan Rasulullah saw memperjuangkan syiar Islam. Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang menjadi tetamu Allah di sebalik kesibukan saya yang berterusan,' ujarnya sambil menambah beliau merancang melakukan umrah sekali lagi sebelum mengerjakan fardu haji.

Tahun ini juga, Aaron buat tahun kelima diberi kepercayaan untuk menerbitkan iklan F&N sempena musim Hari Raya. cyberita.asia

p/s : mantap dah Aaron Aziz, tiba-tiba tahun ini dia semakin terkenal dan banyak berlakon :-))

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Archive

LinkWithin

LinkWithin

PunchTab