TAIPING - Impian pesakit barah tulang tahap akhir, Nurul Atikah Bazilah Samsudin, 14, untuk berbual dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tertunai semalam.
Biarpun hanya lima minit, Nurul Atikah Bazilah jelas gembira dapat berbual dengan idolanya itu menerusi telefon bimbit atas inisiatif Persatuan Impian Kanak-kanak Malaysia (PIKM).
"Walaupun impian saya untuk bertemu dan berjabat tangan dengan Perdana Menteri tidak tercapai namun peluang berbual secara peribadi pun sudah memadai.
"Saya terharu dengan pesanan beliau yang menasihatkan saya makan banyak-banyak, semoga saya cepat sembuh dan boleh berjalan serta pergi ke sekolah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Mewah di sini semalam.
Terdahulu, dia dan keluarga menerima kunjungan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang mewakili Perdana Menteri dan Naib Presiden PIKM, Teoh Teik Hoong.
Nurul Atikah Bazilah yang mula dikesan menghidap barah tulang pada 2009, berkomunikasi dengan Najib menerusi telefon bimbit Setiausaha Akhbar kepada Zambry, Nizamuddin Mat Isa selain menerima sebuah Ipad sumbangan PIKM.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia puas dapat mengucapkan Selamat Hari Raya kepada pemimpin nombor satu negara itu sebelum mengakhiri perbualan.
Sementara itu, ibunya, Che Tom Osman (gambar kecil), 45, terharu dengan kesudian Najib meluangkan masa berbual dengan anaknya.
"Ia bagaikan hasrat terakhir Nurul Atikah. Saya tengok dia agak lemah sebelum ini tetapi terangsang dan bagaikan mendapat tenaga baharu selepas mendengar suara Perdana Menteri.
"Menyedari hayatnya mungkin tidak panjang, saya dan suami sedaya upaya menunaikan semua hajat dan kehendaknya," kata isteri seorang anggota polis itu.
Che Tom yang merupakan seorang penyelia kilang memberitahu, antara hasrat anaknya yang masih belum terlaksana adalah membina sebuah rumah idaman tetapi tidak kesampaian ekoran kesempitan wang.
No comments:
Post a Comment