Showing posts with label Artis. Show all posts
Showing posts with label Artis. Show all posts

Friday, 19 August 2011

Abang Kepada Shaheizy Sam Berpeluang Menyambut Aidilfitri Bersama Keluarga


Pelakon Samzy (tengah) tersenyum selepas dibebaskan dengan ikan jamin sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan yang akan dimaklumkan kemudian.
SHAH ALAM: Bekas pelakon, Samzy Fuzette A. Samad pada Khamis, boleh menarik nafas lega kerana berpeluang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarganya selepas dibebaskan dengan jaminan, sementara menunggu rayuan kes dadahnya di Mahkamah Rayuan yang akan ditetapkan kemudian.
Jika tidak, Samzy yang juga abang kepada pelakon, Zizie Ezette akan menyambut hari kebesaran umat Islam itu di balik tirai besi memandangkan dia sedang menjalani hukuman penjara selama 30 bulan dan sebatan tiga kali bagi kesalahan memiliki syabu.
Hukuman tersebut berjalan pada 12 Julai lalu selepas Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mohtarudin Baki (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman tersebut.
Dua minggu selepas hukuman itu dijatuhkan, iaitu pada 25 Julai lalu, Samzy yang pernah mencuba nasib dalam industri seni menerusi drama Cucu-Cucu Atuk dan Seri Istanamemfailkan notis usul untuk dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu rayuan.
Permohonan itu didengar pada Khamis, dan peguam Samzy, Muhammad Faiz Fadzil memohon agar jaminan dibenarkan terhadap anak guamnya kerana prosiding rayuan berkemungkinan akan mengambil masa yang lama.
"Pemohon (Samzy) dihukum penjara selama 30 bulan dan jika diberikan diskaun, mungkin dia hanya perlu menjalani hukuman selama 20 bulan.
"Ini akan prejudiskan dia jika permohonan dia untuk mendapatkan kebenaran merayu didengar lebih lewat daripada tarikh dia selesai menjalani hukuman," kata Muhammad Faiz.
Selain itu, Muhammad Faiz juga berkata, pengalaman berada di penjara sejak lebih sebulan lalu banyak memberi pengajaran kepada Samzy yang perlu menanggung tiga orang anak yang masih kecil memandangkan isterinya, Sarinah Mohammad, 32, tidak bekerja.
"Jika permohonan ini dibenarkan, pemohon dapat menguruskan hal keluarganya di samping dapat menyambut hari raya yang tidak lama lagi dengan keluarga," tambahnya.
Beliau juga memberitahu, Samzy tidak akan melarikan diri kerana dia berhasrat mahu menggunakan peluang di Mahkamah Rayuan untuk membersihkan namanya daripada tuduhan tersebut dan bersedia untuk menerima apa sahaja syarat tambahan yang akan diberikan oleh mahkamah.
Pada prosiding itu, Samzy turut diwakili oleh peguam Siti Noor Julaini Mohd Shahar.Permohonan itu di bantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam atas alasan Samzy telah disabitkan bersalah seperti pertuduhan yang dihadapinya selepas perbicaraan penuh diadakan.
Hakim Datuk Mohd Sufian Abdul Razak selepas mendengar hujahan-hujahan tersebut, membenarkan Samzy yang juga abang ipar kepada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin dibebaskan dengan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin.
Beliau juga mengenakan syarat tambahan supaya Samzy melaporkan diri di Balai Polis Ampang Jaya, dekat sini yang berhampiran dengan rumahnya pada setiap bulan bermula 19 Ogos ini manakala pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.
Sebaik sahaja mendengar keputusan itu, Samzy yang hadir di mahkamah dengan memakai pakaian seragam penjara berwarna merah dan dikawal oleh empat kakitangan penjara dilihat meraup wajahnya dan tersenyum.
Sarinah dan ibu Samzy, Khaty Fauziah yang berada di galeri awam mahkamah pula mengalirkan air mata menerima keputusan tersebut.
Turut hadir memberikan sokongan ialah tiga lagi keluarga Samzy, manakala anak-anaknya yang berusia 10, setahun enam bulan dan enam bulan dibawa masuk untuk berjumpa bapa mereka sebelum prosiding bermula.
Khaty Fauziah semasa ditemui berkata, dia gembira dengan keputusan tersebut.
"Alhamdulillah. Doa saya dan anak-anak dimakbulkan Tuhan," katanya dalam nada yang tersekat-sekat.
Pada 30 November 2010, Majistret Aida Mastura Mohamed Aman memerintahkan Samzy dihukum penjara 30 bulan dan disebat tiga kali selepas didapati bersalah memiliki 12.15 gram syabu.
Samzy yang kini menjalankan perniagaan sendiri didakwa memiliki dadah itu pada pukul 3.30 petang, 11 April 2005 di rumah beralamat DG-W4, Kondominium Villa Ria, Taman Bukit Mulia, Jalan Mulia 1/5, Bukit Antarabangsa, dekat sini.
Dadah tersebut disimpan dalam 10 paket plastik lut sinar dan dijumpai dalam beg pinggang berwarna hitam dan di dalam beg tersebut terdapat dompet yang mengandungi kad pengenalan dan dokumen peribadi Samzy.

Elfira Dan Erin Tidak Abaikan Pelajaran





BOLEH dikatakan industri hiburan tempatan kerap melahirkan pelakon-pelakon remaja yang masih lagi bersekolah. Ternyata kehadiran mereka tetap diterima ramai dengan mutu dan gaya lakonan yang setanding pelakon-pelakon dewasa.
Bagaimanapun, menjadi seorang pelakon yang masih lagi di alam persekolahan tentunya bukanlah suatu perkara yang cukup mudah. Sama ada berlakon atau belajar, kedua-duanya memerlukan fokus serta komitmen yang sangat tinggi.
Salah seorang pelakon remaja yang tidak asing lagi, Nur Elfira Loy mengakui pada tahun ini tawaran lakonan yang diterimanya agak banyak, meskipun pada tahun ini dia bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Memang ia satu cabaran yang hebat buat diri saya kerana melakukan dua perkara dalam satu masa. Biarpun masih sibuk berlakon sejak kebelakangan ini, tetapi pelajaran tidak pernah saya abaikan sama sekali.
“Saya sedar peperiksaan SPM tinggal beberapa bulan sahaja lagi dan pada masa yang sama masih lagi meneruskan aktiviti lakonan. Namun, saya yakin masih lagi mampu untuk memberi tumpuan kepada pelajaran,” ujar pelakon yang terkenal menerusi drama Qalesya.
Menurut Elfira, biar sesibuk mana sekalipun jadual lakonannya, dia akan memastikan tidak ketinggalan terlalu jauh dalam setiap mata pelajaran yang diajar guru-guru di sekolahnya.
Jelasnya lagi, antara langkah yang dilakukannya adalah dengan membuat ulang kaji pelajaran di rumah rakannya selepas waktu sekolah, manakala pada waktu malam pula dia akan menghadiri kelas tuisyen.
“Lagipun saya memang terpaksa usaha dengan lebih keras kerana saya berada di kelas aliran Sains Tulen dan mata pelajaran yang dipelajari juga sangat berat seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan.
“Malah, saya akui yang prestasi pelajaran saya agak tidak konsisten semenjak kebelakangan ini dan sebab itu saya bertekad untuk meletakkan pelajaran sebagai keutamaan sekarang,” jelasnya.
Menurut pelakon yang pernah bercita-cita untuk menjadi seorang pelakon itu lagi, dia sangat beruntung kerana keluarganya memberi kebebasan sepenuhnya untuk dia membuat sebarang keputusan.
“Walaupun ayah dan ibu tidak melarang saya untuk terus berlakon, tetapi mereka sentiasa memberi nasihat supaya tetap fokus kepada pelajaran. Jadi, buat masa ini saya akan cuba kurangkan aktiviti lakonan buat sementara waktu,” ujarnya.
Seorang lagi pelakon remaja yang turut mengambil peperiksaan SPM pada tahun ini, Erin Malek memberitahu dia juga turut mengambil pendekatan yang sama untuk memberi lebih fokus kepada pelajaran.
Menurut Erin, dia sudah mula mengurangkan aktiviti lakonan dan kali terakhir dia menjalani penggambaran adalah pada bulan lalu untuk telemovie Kain Pelekat Acap yang akan disiarkan di TV 9 pada Hari Raya Kedua.
WALAUPUN sibuk di lokasi, Elfira tetap fokus terhadap pelajarannya.


“Sepanjang bulan Ramadan ini saya langsung tidak terlibat dalam sebarang penggambaran. Lagipun rasanya sekarang ini adalah bulan terbaik untuk saya berusaha lebih keras membuat ulang kaji memandangkan peperiksaan SPM pun tidak lama lagi.
“Biasanya selepas tamat sesi persekolahan, saya akan terus sambung belajar dengan mengupah seorang tutor peribadi di rumah dan pada waktu malam pula saya akan menyelesaikan segala kerja rumah yang diberikan cikgu,” jelas pelajar SMK Pandan Mewah itu.
Bagaimanapun, Erin memberitahu dia perlu bersungguh-sungguh memberi tumpuan kepada pelajaran sepanjang bulan puasa ini memadangkan pada bulan hadapan dia akan terbabit dengan sebuah penggambaran drama.
Ujarnya, dia akan menjalani penggambaran drama bersiri Klik untuk musim kedua sebanyak 13 episod yang akan disiarkan di saluran Astro Ceria setelah terbabit dalam drama yang sama pada musim sebelumnya.
“Dijangka penggambaran akan berlangsung selama hampir sebulan dan sebab itu saya terpaksa menolak sebarang tawaran lakonan yang diterima buat masa ini. Walaupun akan sibuk berlakon, tetapi saya tetap bersedia untuk menghadapi peperiksaan SPM.
“Saya akui yang saya ini bukanlah tergolong dalam kategori pelajar yang pandai, namun itu tidak bermakna saya akan ambil mudah dan semasa menjalani peperiksaan SPM nanti saya tetap cuba yang terbaik,” ujarnya.
Namun begitu, pelakon tersebut tidak menolak kemungkinan untuk kembali aktif berlakon semula selepas selesai menduduki peperiksaan SPM dan bersedia untuk menerima apa sahaja sebarang tawaran lakonan yang diberikan kepadanya.
Tangguh
Meskipun tidak menjalani sebarang aktiviti lakonan sepanjang bulan puasa, tetapi mengikut jadual sebelum ini Elfira sepatutnya akan menjalani penggambaran sebuah drama bersiri sebanyak 13 episod berjudul Dalam Hati Ada Taman.
MENYEDARI peperiksaan SPM sudah dekat, Erin memperlahankan aktiviti seninya.


Menerusi drama tersebut, pelakon yang turut membintangi telefilem seram iaitu Kum Kum di saluran Astro itu bergandingan dengan Randy Pangalila, seorang aktor yang cukup popular di Indonesia.
Lebih menarik lagi, Elfira memberitahu bahawa sepatutnya pada bulan puasa ini dia terbang ke Itali selama dua minggu untuk menjalani penggambaran di situ bersama aktor berkenaan.
“Mengikut perancangan sepatutnya saya akan ke Itali dan menjalani ibadah puasa di sana. Bagaimanapun, saya difahamkan ada sedikit masalah yang berlaku terhadap pihak Randy sehingga ia terpaksa ditangguhkan.
“Memang saya berasa sedikit kecewa kerana hajat untuk menjejakkan kaki ke negara tersebut tidak tercapai, tetapi saya tidak kisah kerana sekurang-kurangnya dapat juga memberi tumpuan kepada pelajaran pada bulan puasa ini,” jelasnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai makanan yang menjadi kegemarannya sepanjang bulan Ramadan, pelakon berkenaan menjelaskan dia lebih gemar menikmati pelbagai jenis kuih-muih untuk hidangan berbuka puasa.
“Biasanya kalau di bulan-bulan yang lain saya memang agak jarang makan kuih. Namun, pada bulan puasa kalau pergi ke bazar Ramadan selalunya saya akan lebih banyak membeli kuih-muih berbanding makanan lain,” jelasnya.
Terima kenyataan
Pastinya sudah ramai yang mengetahui tentang nasib yang menimpa Erin Malek dan keluarganya apabila kedua-dua ibu bapanya telah mengambil keputusan untuk bercerai pada awal tahun ini. Ternyata sambutan bulan puasa kali ini juga cukup berbeza buat pelakon berkenaan yang kini menjalani ibadah puasa bersama ibu dan adik-beradiknya yang lain setelah mengambil keputusan untuk tinggal bersama ibunya.
Ketika ditanya adakah perasaan sedih menyelubungi dirinya pada detik-detik awal umat Islam menyambut bulan Ramadan, pelakon berkenaan menjelaskan ketika ini dirinya sudah dapat menerima kenyataan terhadap segala yang telah berlaku.
“Pada mulanya perasaan sedih itu memang ada sedikit, tetapi bagi saya apa yang berlaku itu memang sudah ditakdirkan. Apa yang lebih penting sekarang saya perlu menjadi semakin kuat untuk mengharungi kehidupan bersama ibu.
“Sebagai anak sulung, saya juga perlu menjadi contoh yang baik kepada adik-adik yang lain. Walaupun ayah dan ibu telah berpisah, tetapi hubungan saya dan ayah tetap baik,” jelasnya yang semakin dapat menerima terhadap apa yang menimpa keluarganya sebelum ini.
Akui Erin lagi, meskipun dia merupakan anak sulung tetapi dia seorang yang sangat manja dan kerap menangis sewaktu keluarganya mengalami masalah apabila kedua-dua orang tuanya berpisah dahulu.
“Apa yang lebih penting sekarang ini saya perlu meneruskan kehidupan dan melupakan segala apa yang telah berlaku. Selain mahu berjaya dalam pelajaran, saya juga mahu terus mencipta nama dalam bidang lakonan,” ujarnya.

Thursday, 18 August 2011

Rozita Che Wan Akui Jumpa Shahir Beri Nasihat


Rozita Che Wan mengakui bertemu dan berbincang dengan Shahir susulan keputusan penyanyi itu untuk bersara. - Foto oleh FAIHAN GHANI
KUALA LUMPUR: Pelakon Rozita Che Wan mengakui ada bertemu dengan penyanyi Ahmad Shahir Zawawi (Shahir AF8) beberapa kali susulan pengakuan mengejut penyanyi itu untuk berehat dan mengundurkan diri daripada bidang seni baru-baru ini.
Rozita berkata, sebagai teman apa yang dapat dilakukannya adalah dengan berbincang dan memberikan nasihat sekadar termampu. Bagaimanapun, dia menghormati keputusan juara Akademi Fantasia musim kelapan itu untuk bersara.
"Saya ada menemuinya dan berbincang tentang keputusannya itu. Siapalah saya untuk memberikan nasihat secara berlebih-lebih pula.
"Sebagai kawan, saya hanya boleh memberikan pandangan dan nasihat apa yang termampu saja," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran program Raya Astro di Saloma Bistro, baru-baru ini.
Ditanya adakah Shahir berkongsi dengannya akan sebab dan alasan sebenar di sebalik keputusan drastik itu, Rozita berkata, apa juga keputusan yang dilakukan oleh penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu adalah hak peribadinya yang tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
"Mungkin dia masih muda dan baru dan tidak kuat untuk menghadapi liku-liku dunia seni ini. Apa pun, sebagai orang luar kita harus menghormati keputusan tersebut.
"Dia hendak berehat ke, bercuti panjang ke atau bersara sekali pun, itu adalah haknya dan siapa kita untuk mempertikaikan?," katanya.
Dalam perkembangan lain, Rozita yang baru pulang ke tanah air pada dua hari lalu selepas 12 hari mengerjakan umrah di Mekah kini kembali sibuk di lokasi penggambaran drama Biarlah Rahsia.
"Ibadat umrah kali ini sangat istimewa kerana saya mengerjakannya bersama ibu, kakak dan abang ipar. Suasananya lebih meraih kerana saya dapat pergi bersama ahli keluarga yang lebih ramai berbanding sebelum ini.
"Kini saya kembali ke lokasi penggambaran drama Biarlah Rahsia sehingga 26 Ogos sebelum bercuti selama seminggu untuk sambutan Hari Raya nanti," katanya yang tampil menawan dengan imej bertudung.
Sekadar diusik apakah dia akan memakai tudung selepas ini, Rozita berkata, hatinya memang teringin untuk bertudung sepenuhnya tetapi bukan dalam masa terdekat memandangkan imej sebegitu akan membataskan watak yang dilakonkannya buat masa ini.
"Memang saya teringin untuk bertudung. Cuma memandangkan saya sudah terikat dengan beberapa komitmen lakonan, imej bertudung ini akan membataskan karakter dan watak yang saya lakonkan pula.
"Insya-Allah saya akan bertudung selepas berkahwin nanti. Masalahnya, masih tiada calon suami," katanya yang sudah sembilan tahun menggalas status ibu tunggal.

Rozita Mahu Calon Suami Lelaki Muda


KUALA LUMPUR 17 Ogos - Pelakon jelita, Rozita Che Wan (gambar), 37, mengakui dia lebih cenderung untuk memilih lelaki bujang yang muda sebagai calon suami.Beliau berpendapat, lelaki muda tidak bersikap dominan seperti lelaki yang berusia yang lebih suka mengawal dan mahu wanita menurut segala kata mereka."Lelaki muda tidak suka mengarah kita sedangkan yang berusia, mereka lebih suka mengarah. Itulah yang membuatkan saya tidak terpikat lelaki berusia. 


 "Tetapi itu tidak bermakna saya tidak boleh terima atau ikut arahan. Dalam hal-hal tertentu, saya seorang yang mengikut kata."Sejak sembilan tahun menjadi ibu tunggal, saya membuat keputusan sendiri dan tidak perlu kehadiran lelaki yang bersikap dominasi dalam segala hal," katanya.Rozita berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataannya semalam yang disiarkan dalam berita pukul 6 petang di stesen radio Sinar FM tentang kecenderungannya memilih lelaki bujang muda berbanding lelaki berusia. 


 Beliau yang baru sahaja menamatkan penggambaran drama rantaian 13 episod berjudul Biarlah Rahsia tanpa berselindung berkata, satu lagi faktor yang memikat hatinya terhadap lelaki muda ialah sikap mereka yang matang."Dalam hubungan, saya pentingkan kematangan seseorang lelaki itu. Apa salahnya jika usianya lebih muda tetapi dia matang dalam tindak tanduknya, bukan kebudak-budakan. 


 "Lelaki muda yang dekat di hati saya, dia ada keberanian. Tidak seperti lelaki yang berusia. Walaupun mereka ini meminati saya tetapi hanya berani cakap. Takut untuk mengorak langkah," kata ibu kepada Ammar Effendy, 15, dan Aniq Ezzra, 13, itu.Berbicara lanjut tentang hubungannya dengan juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) Ahmad Shahir Zawani atau Shahir, 23, yang juga bekas anggota kumpulan nasyid Saujana, Rozita berkata, dia amat selesa dengan hubungan itu.


"Setahun tiga bulan sudah usia hubungan saya dengan Shahir dan tahap hubungan kami kini berada dalam keadaan yang lebih selesa."Kami lebih saling faham memahami antara satu sama lain dan sudah semestinya, hubungan yang baik ini dibawa ke satu tahap lagi."Soal jodoh saya serahkan kepada Tuhan kerana yakin takdir menghalalkan benda yang baik, itulah yang saya inginkan daripada hubungan kami berdua," katanya. 


Mengenai khabar angin kononnya Shahir, pelantun lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan akan bersara dari dunia seni untuk menumpukan perhatian dalam bidang agama, beliau berkata, ia adalah satu berita yang menggembirakannya."Tetapi setakat ini, dia tidak pula menyatakan mahu bersara dan sebagai orang yang rapat dengannya, saya faham situasi yang dilaluinya," katanya yang akan bercuti daripada menerima tawaran berlakon kerana mahu membuat persiapan balik kampung pada 27 Ogos ini.

Wednesday, 17 August 2011

Farid Kamil Akan Mengarah Filem Baru 'Cup Prix' Selepas Aidilfitri



CATAT SEJARAH...Filem Kongsi arahan Farid raih kutipan cemerlang.
CATAT SEJARAH...Filem Kongsi arahan Farid raih kutipan cemerlang.
FASA hidup yang dilalui Farid Kamil Zahari, 30, jauh berbeza jika dibandingkan dengan pembabitannya dalam bidang seni sejak lapan tahun lalu.
Di awal kemunculannya pada 2004, dia dianggap bertuah kerana diberi peluang berganding bersama pelakon popular, Erra Fazira menerajui filem 7 Perhentian.
Ketika itu, segelintir peminat melontarkan pandangan sinis apakah bakat baru sepertinya layak memainkan tanggungjawab besar itu.


Namun, jejaka berusia 30 tahun ini enggan putus asa mencuba mahupun mempedulikan pandangan skeptikal yang diterima. Sebaliknya, dia berusaha mengasah bakat hingga merealisasi impian bergelar pengarah enam tahun kemudian menerusi V3: Samseng Jalanan.
Menimba pengalaman dari bawah, rezeki Farid semakin mencurah apabila terus meraih pelbagai peluang berlakon. 


Mengikut profil daripada laman sesawang Sinema Malaysia, Farid sudah membintangi 29 filem termasuk mengarah filem kedua, Kongsi. Filem ini juga mencatat sejarah buat Farid dan produsernya, David Teo apabila mencatat kutipan RM8.5 juta.
Filem ketiga arahannya, PE3 bakal menyusul nanti. Sementara itu, Farid masih sibuk dengan aktiviti penggambaran dan kerja produksi. Dalam kesibukan itu, dia tidak melupakan komitmen memenuhi jemputan seperti acara majlis berbuka puasa yang diadakan.


Pemuda berasal dari Alor Setar, Kedah ini mengakui jadual kerjanya tidak terbatas walaupun berdepan cabaran berpuasa. Daripada aspek lakonan, dia baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri 26 episod, Wasiat arahan Faisal Ishak.


“Dalam sibuk berlakon, saya masih memberi fokus PE3 yang kini melalui proses pasca produksi. Saya juga dalam proses praproduksi untuk mengarah filem baru, Cup Prix yang dijangka memulakan penggambaran selepas Aidilfitri nanti. Ia masih menampilkan genre aksi dan skrip dihasilkan adik saya, Fadzil.


“Sebenarnya, apa yang saya cuba sampaikan kali ini berbeza dengan Remp-it dan V3: Samseng Jalanan. Plot masih membawa subjek motosikal, tetapi ia lebih menjurus kepada kehidupan pelumba profesional. Menariknya dalam filem ini, saya akan mengambil syot atau situasi sebenar yang berlaku di litar lumba,” katanya penuh semangat.


Minat Farid terhadap subjek motosikal masih menebal. Malah, memang mengikut perancangan, mahu menghasilkan sekuel Kongsi dan ia kini masih dalam proses pembikinan skrip.


Barisan pelakon dan plot yang ingin disampaikan belum dipastikan lagi, tetapi Farid berharap sekuel kali ini lebih hebat berbanding cerita pertama.


Atas kejayaan Kongsi mengaut keuntungan tertinggi dalam trek rekod filem terbitan Metrowealth Pictures (MIG) sebanyak RM8.5 juta, Farid menerima habuan RM50,000 sebagai bonus manakala RM50,000 diberikan untuk kos melanjutkan pengajian perfileman ke luar negara.


Penerima Anugerah Bakat Muda Seni Lakon pada Anugerah Seni Negara (2009) sudah lama merancang mahu merealisasikan impian menimba ilmu di luar negara. Adanya peluang ini, dia memilih Australia dan dijangka memulakan pengajian pada pertengahan tahun depan.


“Seharusnya, saya bersyukur atas kepercayaan David Teo pada hasil kerja saya selama ini hingga mendapat habuan sebesar ini. Di Australia, saya akan mengambil kursus pendek khusus dalam bidang pengarahan aksi. Bagi saya, duduk di MIG dalam keadaan selesa memerlukan kerja keras secara konsisten.


“Selama ini, saya berasa beruntung kerana diberi kebebasan untuk berkarya termasuk mengarah dan berlakon filem sendiri. Malah adanya pemberian bonus seperti ini, saya menganggap ia suatu yang berbaloi atas usaha yang dilakukan,” katanya.


Melihat pada pencapaian cemerlang Farid bersama MIG, dia menolak pandangan segelintir yang mengatakan dia kini menjadi anak emas David dan MIG. Menepis pandangan itu, artis Wajah Eksklusif Astro ini juga tidak mendabik dada untuk bersikap ‘demand’ terhadap tawaran yang diterima.


Katanya, dia tidak berasakan perkara itu berlaku pada dirinya sebaliknya berpandangan, dia bertuah menerima kemudahan yang lebih daripada orang lain.


“Di MIG sebenarnya, setiap pengarah mempunyai pengkhususan sendiri. Seperti saya lebih cenderung pada genre aksi, Azhari Zain pula pada seram, Ismail Bob Hasim (Bob) membawa komedi manakala Hashim Rejab tertumpu pada genre drama.


“Tidak salah untuk saya mencuba genre lain asalkan saya masih menggunakan genre asal diadun seperti aksi komedi atau aksi romantik.


“Mengikut kontrak bersama MIG, saya masih mempunyai baki tujuh filem baru yang akan disiapkan berbanding 10 filem yang ditawarkan,” katanya.


Terikat kontrak bersama MIG, dia menyatakan masih bebas berlakon dengan mana-mana produksi, tetapi harus memberi fokus mengarah bersama MIG. Malah, dia selesa terus berlakon dan mengarah pada masa sama.


“Banyak tawaran daripada produksi luar yang saya terima, tetapi terpaksa ditolak kerana saya mempunyai komitmen pada filem dan drama sedia ada. Masa kerja saya sebenarnya terhad.


“Tahun depan, saya mempunyai projek besar mahu mengarah filem Gerila yang memfokuskan kisah tentera. Projek ini menyaksikan kolaborasi bersama Bob dan saya akan bertanggungjawab sebagai pengarah aksi,” katanya.


Menyentuh soal peribadi, Farid gembira kerana hubungan cinta bersama Diana Danielle kembali berputik. Seperti pasangan lain, Farid tidak menafikan menyimpan hasrat menamatkan zaman bujang, tetapi masih belum membuat keputusan mengenai tarikhnya.


“Mungkin saya belum dapat gerak hati untuk menamatkan hubungan kami ini. Buat masa ini, hubungan kami berjalan lancar dan saya selesa bersamanya.


“Sejak Ramadan, kami sebenarnya tidak mempunyai masa berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan komitmen kerja. Cuma, kami berhubung menerusi telefon.


“Bagi saya, apa yang berlaku pada hubungan kami sebelum ini menjadi pengajaran dan mematangkan fikiran saya sebagai lelaki. Susah untuk saya kata mengenai kelebihan dia, tetapi dia seorang lemah lembut dan paling penting, sangat menghormati orang yang lebih berusia daripadanya,” katanya yang tidak mempunyai masalah mengenai pertanyaan peminat terhadap soal peribadi.


Mengenai persiapan Aidilfitri, Farid menyatakan dia akan bercuti selama seminggu untuk balik ke kampung keluarganya di Alor Setar dan Jitra, Kedah.


Di kesempatan itu, dia berhasrat mengadakan rumah terbuka untuk peminat sempena kejayaan filem Kongsi pada raya ketiga di kediaman ibu bapanya di Jitra.

Hubungan Awi Rafael Dan Shila Dihalang ND Lala?


AWI RAFAEL POPULAR DENGAN LAGU PULANGLAH
Mula dikenali menerusi single pertamanya,Pulanglah, nama Awi Rafael seakan singgah dan kekal dalam kotak fikiran peminat-peminat muzik di Malaysia.
Lahir di Singapura, graduan jurusan Undang-undang dan Psikologi ini semakin mendapat perhatian setelah dia dikatakan menjalinkan hubungan cinta bersama anak kepada penyanyi dan ahli perniagaan popular, ND Lala.
Kelihatan mesra bersama Shila Hamzah, kedua-dua mereka bagaimanapun menafikan ada hubungan yang melibatkan hati terjalin antara mereka, dan kemesraan yang timbul hanya berlandaskan hubungan sebagai seorang rakan seperjuangan sahaja.
Namun yang tidak sedap di dengar, ada cerita yang mengatakan khabar angin tentang hubungan cinta mereka ini menjadi hangat selepas ND Lala, bapa kepada Shila tidak gemar dengan gosip yang melanda anaknya itu. Memarahi Shila apabila mengetahui berita ini, ND Lala juga dikatakan tidak bersetuju dengan hubungan yang terjalin antara Shila dan Awi Rafael.
Bertemu Awi Rafael, dia menjelaskan ada mendengar cerita sebegini sebelum ini, namun, sekiranya perkara ini benar, dia berharap ND Lala faham bahawa perkara ini semua bukannya datang daripadanya.
"Saya harap Shila faham, begitu juga dengan bapanya, ini semua bukan datang daripada saya, malah sejak dahulu lagi saya sudah mengaku tiada sebarang hubungan antara saya dan Shila.
"Bagi saya ini hanya salah faham, saya berkawan dengan ramai orang, tetapi kerap dikaitkan dengan Shila, dan ia mula mencetuskan kontroversi.
AWI RAFAEL PULANG BERAYA DI PONTIAN, JOHOR
"Mungkin dulu saya bercakap main-main, tapi kini setegasnya saya beritahu, tiada apa-apa hubungan antara saya dan Shila sejak dahulu lagi.
"Saya tidak pernah bertemu ND Lala, apatah lagi menegurnya, jadi saya tidak pasti perkara ini benar ataupun tidak. Yang jelas, mungkin mereka salah faham tentang hubungan yang terjalin antara saya dan Shila,"jelas Awi.
Mengakui pernah rapat bersama Shila, Awi Rafael bagaimanapun menafikan mahu menumpang populariti gadis itu di Malaysia ini.
"Saya timbul kerana lagu Pulanglah, bukan kerana gosip bersama Shila, jadi tidak mungkin saya mahu menumpang popularitinya disini.
"Sekarang ini pun saya sedang sibuk mempromosikan single kedua saya, dan selama ini saya bekerja keras untuk menaikkan nama saya sendiri tanpa bergantung pada orang lain,"jelasnya lagi.
Pulang Pontian
Biarpun lahir di Singapura, Awi tetap akan beraya di Pontian, iaitu kampung ibunya.
"Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, saya akan beraya di Pontian terlebih dahulu sebelum pulang ke Singapura. Pontian adalah kampung ibu saya, manakala bapa saya berada di Indonesia,"jelas Awi.

Sepah Nafi Akan Berpecah


KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan Sepah, Shuib mengakui terkilan dengan kontroversi kononnya mereka akan berpecah selepas memenangi pertandingan Maharaja Lawak lalu.
Jelasnya, apa yang dimaksudkan dengan berpecah adalah tiada halangan untuk menerima tawaran secara berseorangan dalam mana-mana persembahan atau lakonan.
“Pertama sekali saya ingin terangkan bahawa kami tidak berpecah, saya rasa ada salah faham dari kenyataan yang dikeluarkan daripada salah seorang anggota Sepah.
“Apa yang cuba mereka sampaikan ialah kami boleh berpecah-pecah jika mendapat tawaran persembahan pentas atau berlakon dan bukan semestinya bertiga,” jelasnya ketika ditemui di rakaman Melodi Raya, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Rabu.
Kata Shuib, disebabkan khabar angin tersebut dia menerima beberapa panggilan daripada peminat tidak dikenali yang meluahkan rasa kecewa mereka.
“Lebih terkilan apabila ramai peminat yang telefon saya untuk meluahkan rasa kecewa mereka kerana telah berhabis duit mengundi kumpulan kami dalam Maharaja Lawak lalu.
“Saya rasa bersalah dengan mereka kerana mereka ingin melihat Sepah terus berada di industri ini secara berkumpulan bukan secara solo.
“Jujurnya, saya akui kami tidak akan kuat jika bergerak sendiri tanpa salah seorang daripada kami,” tuturnya.
Dalam pada itu, Shuib akui ada beberapa tawaran yang tidak dapat dipenuhi ketiga-tiga mereka atas sebab-sebab tertentu.
“Kami sudah berkawan lama dan berjanji tidak akan menyekat rezeki masing-masing.
“Jika salah seorang daripada kami sibuk dan tidak dapat menyertai, kami tetap akan meneruskan persembahan biarpun berdua atau seorang,” katanya.

Tuesday, 16 August 2011

Miera Lieyana Dikatakan Mabuk Di Pusat Hiburan?


Masih gadis timur
TIDAK surut dugaan ditempuhi aktres muda, Miera Leyana Kasmi, 18, apabila baru saja reda kontroversi gaun seksi yang menampakkan bahagian tertentu tubuhnya, kini timbul pula cerita dia dikatakan mabuk selepas berhibur di pusat hiburan.

Bagi empunya diri, ia tohmahan yang jelas cuba memburukkan namanya, malah jauh di sudut hati berharap si penyebar cerita palsu jangan memfitnah sesuka hati tanpa memikirkan maruah insan lain.

“Saya pernah dicop seksi, namun tidak bermakna saya pemabuk. Memang saya terkejut kerana saya tak buat benda seperti itu. Malah lokasinya pula dikatakan berlaku di sebuah pusat hiburan berhampiran kediaman keluarga saya.

“Walau ibu bapa saya bersikap terbuka, pergaulan serta tatasusila sebagai orang timur tetap dititikberatkan. Jangan menilai buku daripada kulitnya. Biar tampak lincah, saya bukan jenis mudah lupa diri,” kata pelakon berbakat besar itu penuh bermakna.

Akuinya, kebebasan yang diberikan keluarga tidak mungkin dipersiakan dan bersama kepercayaan itu Miera berani melangkah sama ada di arena lakonan mahu pun peragaan yang diminati sejak kecil.

Gadis berdarah campuran Melayu-Cina ini sebenarnya mempunyai hati waja apabila menganggap gosip atau khabar angin sebagai asam garam yang perlu dilalui semua insan seni.
“Ramai lagi yang pernah berdepan dugaan lebih hebat. Bagi saya jika tidak benar, baik pekakkan telinga dan pejamkan mata. Saya bersyukur apabila setiap kali datangnya ujian, ibu bapa antara insan pertama yang akan menjadi penenang.

“Bermula lebih awal di bidang peragaan iaitu pada usia 15 tahun menyediakan mental dan fizikal saya supaya kalis tekanan. Pengalaman mengajar saya supaya tidak cepat melatah,” kata si tinggi lampai yang pernah terbang hingga ke Jerman untuk memperagakan pakaian.

Enggan memanjangkan isu kontroversi, gadis yang ditemui pada pertunjukan fesyen Hari Raya di sebuah pusat beli belah di ibu kota baru-baru ini, bicaranya dialihkan ke projek baru semetelah namanya kian mendapat perhatian penerbit.

Baru selesai penggambaran drama bersiri berjudul Psikik, katanya, orang kuat produksi berkenaan turut membuka peluang kepadanya tampil bersama sebuah lagu khusus untuk produk terbabit, Miliknya.

Lagu tema berentak balada yang bakal diedarkan sebagai single itu ialah percubaan pertama Miera di arena rakaman, membuatkannya gementar menanti maklum balas orang ramai.

Katanya, dia sendiri tidak menyangka kerana segala-galanya bermula secara kebetulan iaitu selepas penerbit mendengarnya mendendangkan sebuah lagu Yuna dalam satu babak.

“Menyanyi sudah menjadi hobi keluarga, tetapi sekadar suka-suka. Cuma apabila diberi peluang merakamkan lagu, saya minta tempoh untuk memikirkannya kerana langsung tidak punya asas nyanyian.

“Namun ibu bapa saya memberi galakan, selain penerbit yang menaruh kepercayaan. Memang sukar kerana selain mengawal vokal, pernafasan juga sama penting. Alhamdulillah, saya mampu melepasi ujian itu,” katanya yang mengambil masa dua hari untuk menyempurnakan rakaman.

Dijangka lagu tema akan dipromosikan dulu di stesen radio sebelum drama bersiri terbabit menemui penonton sekitar akhir tahun ini, manakala penggambaran pula sudah diselesaikan lebih awal sebelum bermulanya puasa.

Lash hanya kawan

MENERUSI Psikik, Miera digandingkan bersama pelakon baru, Lash Mokhtar, dan dek keakraban mereka dikatakan intim apatah lagi tersebar gambar yang menandakan kemesraan kedua-duanya.

“Lash macam kawan lain. Macam biasalah kalau bergambar sudah tentu kita duduk rapat dengan orang di sebelah. Dalam gambar itu pun kami bukan berpeluk. Lagi pun ada ramai lagi teman yang ada ketika itu sebab ia berlangsung ketika penggambaran Psikik.

“Biar apa pun orang cakap saya sudah tak kisah. Antara saya dan Lash tetap berkawan. Dia sendiri pun tahu saya jenis gila-gila dan cepat mesra, jadi mereka yang rapat tahu sejauh mana persahabatan kami,” dedah si jelita yang sememangnya peramah itu.

Bercerita soal sambutan Syawal pula, Miera berkata, tahun ini mereka sekeluarga akan terbang ke Eropah mengambil cuti panjang yang sudah dirancang sejak tahun lalu.

Begitupun, mereka akan menziarahi dulu sanak-saudara di sekitar ibu negara dan menghabiskan masa di kampung sebelah ayah di Parit Buntar, Perak sebelum berlepas ke negara orang.

“Mama sudah merancang percutian ini sejak tahun lalu dan lebih seronok kerana ia turut disertai anggota keluarga terdekat. Baik destinasi mahu pun persiapan, segala-galanya diuruskan ibu saya tambahan pula kami sudah lama tidak bercuti sekeluarga.

“Memang tak sabar kerana selain menenangkan fikiran, saya dapat meninjau perkembangan fesyen di sana. Kami akan ke London dulu sebelum singgah ke Paris. Ikut perancangan awal, percutian ini berlangsung selama tiga minggu,” katanya bintang filem Apokalips yang tampak begitu teruja.

Fiq Mentor Sedang Peluk Siapa Tu?

Dah jadik kebiasaan, sesiapapun yang jadi buah hati atau pendamping kepada seseorang selebriti, ia pastinya akan mendapat perhatian wartawan hiburan atau pun masyarakat.

Aku rasa, sebab itulah ada ramai di kalangan artis tersebut yang terpaksa main sorok-sorok dengan wartawan untuk menutup cerita benar tentang kewujudan buah hati mereka itu.

Ada tu, sampai lari lintang pukang apabila terserempak dengan wartawan. Siap sanggup sembunyi dalam toilet lagi.

Walaupun macam tu, ada jugak pemegang title wartawan hiburan ni yang tetap boleh menghidu atau mendapat tahu tentang kisah percintaan sang artis. Haa.. jangan main-main tau.

Yelah, sekarang ni pun dah ramai paparazzi di Malaysia. Jadi tidak hairanlah paparazi ini sanggup cari duit dengan menyebarkan berita-berita sebegini kepada wartawan hiburan untuk disebarkan pula kepada pihak umum.

Pun begitu, bagi aku tak salah sebenarnya, kalau kisah cintan-cintun ini dikongsi bersama peminat, cuma janganlah ianya dilakukan secara berlebih-lebihan pula.

Peminat pun nak ambil tahu jugak siapakah bakal suami dan isteri kepada artis kesayangan mereka.

Nanti kalau tak disukai peminat, silap-silap hari bulan, artis itu tidak laku lagi selepas kahwin. Tapi jangan terlebih sudah. Cukuplah sekadar mengaku dan menjelaskan perhubungan tersebut.

Wah..dan macam doktor cinta pula aku nikan? Apa sekalipun, kali ini, aku nak story mory tentang kisah juara Mentor musim ke-2 iaitu Fiq. Agak lama tak dengar kisah dia. Paling-paling pun, hanya tahu dia sekarang tengah duk sibuk mempromosikan single terbarunya berjudul Tragis.

Sebelum itu, Fiq pernah berjaya melayakkan diri dalam peringkat separuh akhir Anugerah Juara Lagu 25 (AJL25) menerusi lagu Manifestasi Cinta dendangannya bersama kumpulan nasyid Mirwana dulu.

Kini, kehidupan Fiq semakin bahagia. Malah, semenjak protege Amy Search ini sudah mempunyai buah hati, senyumannya pun makin melebar sekarang ini.

Menurut sumber, kekasih hati Fiq ni bernama Fiona. Dengar cerita, Fiona yang cantik ini adalah seorang model. Malah, wajahnya sering menghiasi majalah fesyen tempatan.

Apa yang memanaskan cerita kali ini, sebelum dikatakan bercinta dengan Fiq, Fiona pernah melayari bahtera cinta bersama dengan bekas finalis Pencarian Majalah Maskulin iaitu Ariey Mustapha.

Tapi, mungkin percintaan mereka tidak kesampain kot. Jika benar mereka bercinta, kami doakan pasangan ini bahagia sampai ke jinjang pelamin
.

LinkWithin

Blog Archive

LinkWithin

LinkWithin

PunchTab