Thursday 28 July 2011

Datuk Seri Najib Yakin Harimau Malaya Mampu Atasi Singapura


Perdana Menteri Malaysia
(Datuk Seri Najib Tun Razak)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, percaya pasukan bola sepak Malaysia, Harimau Malaya, mampu menumpaskan pasukan Singapura walaupun terpaksa mengatasi defisit dua gol.
Beliau yang akan menyaksikan perlawanan timbal balik pusingan kedua kelayakan Piala Dunia itu bersama-sama lebih 10,000 rakyat Kedah sempena lawatannya ke negeri itu esok, berkata mereka mesti mempunyai kepercayaan pada diri sendiri dan taktik yang ditentukan jurulatih, Datuk K Rajagobal."Jika bermain dengan penuh disiplin dan semangat dan keyakinan diri, saya percaya mereka boleh mengatasi pasukan Singapura

"Sebab mereka ada kebolehan dan ada bakat untuk berjaya meskipun mereka terpaksa mengatasi defisit sebanyak dua gol tetapi kita yakin mereka mampu untuk berbuat demikian dengan syarat mereka bermain sebagai satu pasukan dan tidak ada kelemahan di mana-mana posisi sekalipun," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perlawanan timbal balik kedua pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 di antara Malaysia dan Singapura yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok. 

Pada Sabtu lalu, Malaysia kalah 5-3 kepada Singapura pada perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia 2014. 

Sebelum itu, ketika mempengerusikan majlis dialog pertama 1Malaysia Online Roundtable bersama tokoh dan personaliti yang terbabit dalam bidang masing-masing di Pejabat Perdana Menteri di sini, Najib menyatakan sokongan kerajaan dan rakyat Malaysia kepada Rajagobal dalam perbualan telefonnya dengan jurulatih itu. 

Katanya, beliau juga menyatakan kepada Rajagobal bahawa kerajaan dan rakyat mengharapkan persembahan yang terbaik dengan penuh bersemangat daripada pasukan Malaysia. 

"Saya percaya mereka mempunyai peluang untuk menutup defisit dua gol di Stadium Bukit Jalil dengan persekitaran dan semangat yang berkobar dari kalangan penonton, dan percaya penonton boleh memberi kelebihan kepada pasukan kita," katanya. 

Rajagobal yang juga antara tokoh dan pakar dalam bidangnya yang menjadi anggota 1Malaysia Online Roundtable tidak hadir pada majlis dialog itu kerana sedang mempersiapkan pasukan Harimau Malaya untuk perlawanan malam esok. 

Najib berkata, bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan Malaysia, pihaknya memutuskan untuk memasang skrin besar di Dewan Wawasan, Kubang Pasu, ketika beliau menghadiri program jamuan bersama rakyat, bagi menyaksikan perlawanan tersebut. 

"Seluruh negara memberikan sokongan padu kepada pasukan kita dan saya akan menyaksikan perlawanan ini di Kedah. Saya tidak boleh ubah program saya. Saya akan bersama-sama 10,000 rakyat di Kedah dan pihak kami memutuskan untuk memasang skrin besar untuk menyaksikan perlawanan itu. Ini untuk menunjukkan sokongan padu kami kepada pasukan negara," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Archive

LinkWithin

LinkWithin

PunchTab