Saturday 2 July 2011

Rasuk Kutip RM700,000


SELEPAS seminggu menjengah 64 pawagam tanah air, filem genre seram Rasuk terbitan Merpati White Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Sri Saheb Production Sdn Bhd baru mencecah kutipan lebih RM700,000.
Selaku penerbit filem ini, Harvinder Singh berkata, pihaknya juga menganggap kutipan Rasuk: Dendam Syaitan Yang Tak Sudah arahan S Baldev Singh itu adalah sederhana saja. 


“Pihak kami tidak kecewa dengan kutipan minggu pertama filem ini kerana lebih suka melihat dari sudut yang positif. Selain berdepan persaingan dengan filem KL Gangster, Rasuk juga bersaing sengit dengan filem dari luar negara iaitu Transformers yang sudah pun mendapat kutipan RM30 juta di Amerika Syarikat.

“Saya juga akur dengan hakikat filem genre aksi juga mendapat tempat di hati penggemar filem kita bersandarkan sambutan hebat pada filem KL Gangster dan Kongsi di pawagam tempatan,” katanya.



Apapun, kata Harvinder, pihaknya juga mensasarkan Rasuk yang menggandingkan pelakon Fouziah Gous dan Iqram Dinzly selaku teraju utama itu bakal mencecah kutipan sekurang-kurangnya RM1.5 juta selepas dua minggu tayangan mengikut Skim Wajib Tayang nanti.


“Saya berharap, peminat filem tempatan di luar sana yang masih belum menonton Rasuk supaya tidak melepaskan peluang untuk menontonnya di pawagam berhampiran.

“Pihak kami percaya, Rasuk mempunyai kekuatan dan kelainannya yang tersendiri bagi menarik peminat filem seram ke pawagam sekali gus sama-sama menyokong filem kita,” katanya.

Bagaimanapun, kata Harvinder, filem Rasuk mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada peminat filem seram di Singapura.

“Rasuk hanya ditayangkan di dua pawagam saja di Singapura, tetapi sudah mendapat kutipan RM50,000 dalam tempoh seminggu. Sambutan yang bagus dari peminat filem itu kerana mungkin kerana tiada filem Melayu yang ditayangkan pada tarikh yang sama.

“Mengenai kutipan di negara lain pula iaitu Hyderabad (Pakistan), Jepun (dua pawagam) dan Iran (dua), pihak kami masih belum mendapat jumlah kutipan sepenuhnya daripada pihak pawagam di sana,” katanya.

Filem Rasuk yang menjengah pawagam tempatan bermula 23 Jun lalu membongkar misteri banglo Melayu lama yang dibina sejak zaman pemerintahan Jepun.

Banglo ini nampak indah dan teguh serta penghuninya silih berganti tanpa sebarang gangguan sehinggalah kehadiran sepasang suami isteri, Arman dan Sari Melati.

Arman seorang pengarah fotografi dan Sari Melati pula penulis skrip. Misteri bermula apabila Sari Melati yang tidak sengaja mengangkat batu tanda di kawasan rumah berkenaan.

Selain Fouziah dan Iqram, filem ini antara lain dibintangi Sidek Hussin (watak lelaki misteri), Fauziah Nawi (ibu Arman), Linda Hashim (Melati yang menggoda pada zaman Jepun), Frank Peterson dan Hasni Maulod.

Sementara itu, pihak MIG pula masih belum dapat jumlah kutipan sepenuhnya filem Sekali Lagi yang mula menjengah pawagam tempatan bermula 30 Jun lalu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Archive

LinkWithin

LinkWithin

PunchTab