Thursday 28 July 2011

Singapura Hebat Kerana Pemain Import


PEMAIN Singapura, Qiu Li (kiri) menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukan di Pusat Latihan Maybank, Bangi kelmarin

APA kelebihan Singapura? 

Ingat boleh menang ke pada aksi kedua pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Jangan haraplah! Tidak semudah itu nak menjinakkan Harimau Malaya.
Kira nasiblah boleh menang 5-3 pada aksi pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura, Sabtu lalu.

Selain itu, skuad kebangsaannya pula bukan dibarisi anak-anak jati Singapura, sebahagian besarnya diimport. Yang mereka import pun tidak memiliki kualiti luar biasa.

Jika diimbas rekod lalu, banyak yang boleh dijadikan cerita tentang nasib pasukan Singapura apabila bertandang ke bumi Malaysia.

Andai ada yang berpendapat Singapura hebat, itu silap, mereka hanya hebat 'mengimport' pemain.

Sebenarnya, Harimau Malaya bukan tandingan Singapura.

Harimau Malaya adalah skuad kebangsaan Malaysia, skuad yang sedang mencipta nama di pentas antarabangsa.

Jadi, usah mimpi nak 'pukul' Harimau Malaya dan sejarah lalu pula menyaksikan Selangor pun Singapura tak mampu nak tewaskan. Itu baru pasukan negeri.

Malam ini, kalau Singapura berhasrat nak melangkah jauh pada kelayakan Piala Dunia 2014, elok lupakan, kecualilah mereka 'mengimport' lagi pemain dalam skuad untuk menentang Harimau Malaya.

Tidak perlulah untuk menceritakan tentang kehebatan Harimau Malaya.

Kemapuhan mereka memang sudah terbukti.

Andai Singapura masih ingat lagi bagaimana perjalanan skuad Harimau Malaya untuk muncul juara pada Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF tahun lalu, maka mereka akan tahu tentang betapa sukarnya menumbangkan skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal ini.

Sedarkah Singapura bahawa Harimau Malaya tidak memiliki kesebelasan terbaik pada aksi pertama, Sabtu lalu.

Beberapa tonggak utama tidak disenaraikan ekoran kecederaan.

Jentera pertahanan pula digalas oleh pemain muda tetapi berwibawa.

Tanpa watak utama dalam skuad Harimau Malaya pun menyaksikan betapa sukarnya Singapura untuk menyekat mereka.

Malam ini, Singapura perlu bersedia untuk berdepan kemusnahan.

Harimau Malaya tidak rela dipijak di bumi sendiri.

1Malaysia akan berdiri teguh di belakang wira-wira negara ini.

1Malaysia pasti akan membanjiri stadium untuk menambahkan lagi 'ngauman' Harimau Malaya yang bakal meratah sang Singa. Singa akan dibelasah habis-habisan kerana Harimau Malaya sedang kelaparan mencari mangsa.

Bukan semangat mereka sahaja yang semakin memuncak tetapi watak utama di jentera serangan, Mohd. Safee Sali juga cukup berbisa.

Safee semakin konsisten menggegar gawang lawan.

Andai benteng Liverpool pun Safee boleh lolos daripada kawalan, inikan pula budak mentah dalam skuad Singapura.

Sudah terbukti pada aksi pertama Sabtu lepas bagaimana Safee menonjolkan keajaibannya apabila jaringan hampir-hampir memusnahkan Singa di kandang sendiri.

Walau apa pun, skuad asuhan Rajagobal ini perlu mengelak daripada berasa terlalu ghairah.

Bila keghairahan mengatasi segalanya, ia boleh memakan diri.

Maka, semua pemain perlu ingat - tampil dengan rentak yang lebih terancang, tenang dan pergunakan sepenuhnya peluang yang ada.

Dua gol menjadi buruan, namun penyokong tempatan meramalkan Harimau Malaya bakal meraih kemenangan 3-0.

"Saya yakin Harimau Malaya akan menang 3-0. Mereka ada kualiti dan mereka layak menang perlawanan malam esok (malam ini) berdasarkan gaya permainan mereka di Singapura, minggu lalu," kata salah seorang penyokong Afdal Arrifin ketika ditemui di Bukit Jalil semalam.

Dalam ramai-ramai yang ditemui itu, sebahagian besar yakin Malaysia akan menang 3-0.

Malam ini, adalah penentuan.

Penentuan inilah yang terus menaikkan semangat barisan pemain Harimau Malaya dan juga penyokong setia mereka.

Penyokong sudah berikrar untuk menyerbu Stadium Bukit Jalil, dan buktinya - 90,000 tiket sudah habis dijual.

Bersedialah Singapura untuk berdepan kemusnahan di Bukit Jalil malam ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Archive

LinkWithin

LinkWithin

PunchTab