Wednesday 27 July 2011

Syarat Cinta Syafinaz






KALI terakhir figura tinggi lampai, Syafinaz Selamat tampil bersama buah tangan buat peminat adalah menerusi album Syyh... pada tahun 2001.
Setelah dicurahkan segala cinta dan kasih sayangnya melantunkan lagu-lagu seperti Dan, Tiada Maaf Bagimu serta Surat Terakhir dalam album ketiganya itu, Syafinaz, 38, seolah-olah menoktahkan perjalanan seninya tanpa khabar.
Selain menyepi dan umpama hilang ditelan arus industri hiburan dengan kemunculan bintang-bintang baharu, Syafinaz sebenarnya sedang merencanakan perjalanan seninya dengan lebih jitu dan kemas.
Karier seni dan akademik berjalan seiring dalam dirinya. Dalam pada penyanyi bersuara soprano itu sedang membikin album keempat, permintaan dan kehendak untuknya mencurah ilmu dalam bidang muzik kian bertambah.
"Kini saya terpaksa membahagikan masa untuk mengajar di Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan), ICOM (International College Of Music) dan separuh masa di UiTM (Universiti Teknologi Mara), selain itu saya dilantik sebagai konduktor Permata Seni Koir dan Vocal Master untuk Koir Kebangsaan Malaysia.
"Bayangkan betapa sibuknya kehidupan saya sehari-hari sehinggakan diri sendiri pun kadangkala terabai," ujarnya ketika ditemui selepas sesi fotografi di Studio Utusan, Chan Sow Lin baru-baru ini.
Tidak menolak cinta
Kesibukan menjadi alasan buat Syafinaz, namun katanya jika ada insan yang sudi memahami diri dan kerjayanya sehari-hari, tiada sebab untuknya menolak cinta yang hadir.
"Saya akui saya tiada masa untuk orang lain dan tiada masa untuk cinta. Cinta saya adalah karier saya yang bermula sejak pukul 8 pagi hingga ke lewat tengah malam.
"Persepsi orang ramai melihat saya seorang yang garang, tapi sebenarnya bukan seperti yang disangka. Mungkin saya kelihatan agak tegas.
"Kalau ada jodoh maka adalah, saya percaya pada ketentuan Tuhan dan saya terbuka untuk menerima sesiapa saja yang hadir pada masa yang sesuai dan memahami siapa saya," bicaranya tatkala ditebak kisah cintanya.
Namun, dia mengakui sudah bersedia untuk disunting arjuna dalam hidupnya. Bagaimanapun Syafinas ada meletakkan syarat-syarat tertentu. "Kesefahaman dan tolenransi, itu yang saya harapkan dalam hubungan," akuinya.
Kecewa! Itu luahan Syafinaz apabila ditanya perkembangan album keempatnya. Ujarnya, kekecewaannya itu disebabkan oleh tempoh masa yang diambil untuk melahirkan album yang diimpikannya itu sehingga lapan tahun.


BERGANDINGAN dengan bintang ternama seperti Syafinaz sememangnya mengujakan Frank.




"Saya buat banyak kerja dalam satu masa sampaikan terkejar-kejar ke sana sini, itu puncanya album keempat ini tergendala," katanya yang memberikan sepenuh perhatian dalam setiap perkara yang dilaksanakannya.
Sebanyak enam buah lagu berjaya disiapkan dan hanya dua buah lagu lagi sedang dalam proses rakaman.
Berbeza daripada album sebelum ini, Syafinaz menyerapkan 'roh' lagu opera ke dalam muzik pop dan membentuk karya pop kontemporari yang sangat istimewa baginya.
Selain itu, teknik nyanyian dan instrumentasi yang digunakan dalam album yang diterbitkan oleh syarikatnya sendiri, Syafinaz Selamat Productions turut berbeza daripada album terdahulu.
"Saya ingin melakukan sesuatu yang saya percaya boleh dilakukan dengan elok, maka album yang berteraskan elemen klasik ini satu kelainan yang sangat istimewa bagi saya dan saya yakin akan kekuatan tersendiri album ini," katanya yang turut menulis sebuah lirik lagu dalam album itu.
Juga serasi dengan dunia seni persembahan pentas antaranya teater, Syafinaz terpaksa melepaskan hajatnya untuk berlakon memandangkan tempoh latihan yang memakan masa panjang.
"Sememangnya berlakon teater sangat menyeronokkan tapi malangnya ia mengambil masa terlalu lama untuk berlatih termasuk proses menghafal skrip," katanya yang disunting beberapa kali untuk berlakon teater selepas kemunculan mantapnya mendukung watak Ratu Sheeba dalam siri jelajah pementasan teater Sinbad: Batu Permata Dewa.
Kilauan Koir Kebangsaan


SYAFINAZ mengakui bertuah dapat mengenali Frank.




Berbangga dengan Kumpulan Koir Permata Seni yang dibimbingnya sejak bulan Januari 2010, Syafinaz bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan ke atas kejayaan kumpulan itu sehingga melayakkannya mewakili negara dalam World Peace Choral Festival 2011 yang diadakan di Schon Brunn Palace, Vienna, Austria mulai 25 hingga 28 Julai ini.
Mengendalikan 55 orang kanak-kanak berusia di antara 7 hingga 12 tahun bukan tugas mudah bagi Syafinaz namun rahsianya bergantung pada cara pendekatan yang dilakukannya.
"Kanak-kanak ini perlu nampak profesional dan apa yang saya buat adalah melayan mereka seperti orang dewasa, syukur alhamdulillah setakat ini segalanya berjalan lancar dan kami sudah bersedia untuk bertemu dengan 40 buah kumpulan koir lain dari seluruh dunia antaranya China, Hong Kong, Taiwan, Slovakia dan beberapa negara Eropah lain," jelasnya yang juga mengagumi kumpulan Vienna Boys Choir sebagai pasukan koir terunggul di dunia.
Festival berprestij itu diwakili oleh 37 orang peserta Kumpulan Koir Permata Seni dan merupakan acara tahunan anjuran The Artistic Comittee of World Peace Festival, Vienna yang bertujuan mempromosikan keamanan sejagat menerusi nyanyian koir oleh kanak-kanak berbakat.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Archive

LinkWithin

LinkWithin

PunchTab