Friday 22 July 2011

Filem Flat 3A Perlu Diperkemaskan


INTAN Ladyana terpaksa bergelut sendirian untuk menyelamatkan Flat 3A?



MELIHAT treler Flat 3A, saya merasakan seperti ada peluang untuk filem ini muncul sebagai naskhah seram yang baik, walau mungkin tidak asli. Mood dan warnanya mengingatkan saya kepada filem-filem hantu dari Thailand - kelam dan sunyi dengan menggunakan rumah usang atau berpuaka sebagai subjek.

Filem arahan Azhari Zain (Santau, 2009; Mantra, 2010) ini mengisahkan Fiqah yang mahu memulakan kehidupan baru selepas menggugurkan janin hasil hubungannya dengan teman lelaki, Anas. Dia dan rakan sekerja, Ratna berpindah ke sebuah pangsapuri lama dengan kadar sewa rendah.

Bagaimanapun, perpindahan itu bukanlah penyelesaian terbaik apabila Fiqah dihantui bayangan seorang budak perempuan. Dia percaya kanak-kanak itu ialah Fatin, anak kecil yang dikatakan hilang semasa bermain. Gangguan yang dialami Fiqah menjadi permulaan kepada satu rahsia yang bakal dibongkar.

Tidak dinafikan, setiap karakter dalam setiap cerita mempunyai fungsi dan peranan masing-masing. Namun, Azhari dan penulis skrip Syahriman Wahab tidak mampu menjalinkannya dengan cantik. Akibat terlalu banyak kaitan, jalan cerita menjadi berserabut.

Filem ini turut menampilkan karakter penting lain seperti ibu Fatin, pakciknya Wahyu dan bomoh Kang Suman, di mana masing-masing mempunyai latar cerita sendiri. Barangkali Syahriman terlalu ghairah dalam mencipta banyak watak dan sub-plot sehingga fokus sebenar filem ini dipersoalkan.

Pengguguran anak yang dilakukan Fiqah bukanlah kisah utama yang ingin ditampilkan. Ia sekadar penggerak atau alasan untuk penulis skrip membuatkan Fiqah ingin berpindah rumah.

Plot sebenar ialah mengenai kejahatan Anas dan hubungannya dengan rumah berpuaka itu. Fiqah hanyalah penyambung atau orang tengah yang membawa Anas kembali ke sana. Anas bukan saja didendami Fatin, tetapi juga Kang Suman.
Saya tertarik untuk membincangkan sedikit tentang konsistensi karakter, misalnya Kang Suman. Dia seorang bomoh ilmu hitam yang ditakuti, yang saya yakin sudah membunuh ramai mangsa, tetapi dalam satu babak, dia memarahi Anas yang sanggup membunuh bapanya sendiri menggunakan kuasa mistik.

Begitu juga dengan penduduk flat yang digambarkan suka menjaga tepi kain orang; seperti babak di kedai runcit, bisik-bisik di tepi tangga dan jiran sebelah rumah; tetapi semasa babak perkelahian kemuncak di atas bumbung, ke mana perginya mereka semua?

Saya turut meragui justifikasi Azhari yang menggambarkan rumah itu seburuk-buruknya dari dalam. Saya mengerti jika dia mahu menimbulkan perasaan ngeri, tetapi kotornya nampak tidak semulajadi, keterlaluan dan dibuat-buat.

Rujuk filem contoh Dark Water (versi Jepun 2002; versi Hollywood 2005) di mana rupa dan perasaan buruk rumah itu hanya pada babak-babak tertentu - adegan imbas kembali atau adegan halusinasi dan tidak keseluruhannya. Ini lebih realistik.
Saya tiada masalah jika Flat 3A mahu mengangkat wajah-wajah baru sebagai pemain utama kerana industri kita memerlukan kepelbagaian pelakon.

Namun sayangnya, kebolehan mereka tidak cukup kuat untuk menyokong karakter yang berat, lebih-lebih lagi watak Anas yang multi-dimensi.
Adey Syafrien tidak memberi jiwa kepada Anas yang sepatutnya dibenci penonton. Dia sekadar melontarkan dialog, yang ada masanya tidak kena bunyi dan intonasi. Riak wajahnya juga mendatar, tidak menggambarkan seorang lelaki yang penuh rahsia dan muslihat.

Shasha Zurazie yang menggalas peranan Ratna pula nampak kaku. Wataknya sebagai gunting dalam lipatan sepatutnya sangat menarik.

Sementara itu, Ery Zukhairi mencuba sedaya-upaya untuk mengisi watak ustaz Wahyu. Sememangnya tidak mudah untuk membuatkan penonton percaya terhadap watak sebegini, apatah lagi apabila melibatkan ayat-ayat suci al-Quran dan 'ilmu menghalau hantu'. Ery dilihat hanya separuh berjaya.

Mereka sepatutnya menjadi teras untuk menyokong lakonan baik Intan Ladyana sebagai Fiqah. Dia kelihatan seperti bergelut seorang diri untuk 'menyelamatkan' Flat 3A. Pengarah sepatutnya membimbing pelakon yang dipilih agar nampak serasi dan seimbang.

Flat 3A mempunyai peluang untuk muncul sebagai naskhah seram yang baik, walau mungkin tidak asli. Namun premisnya harus diperkemaskan dan pelakonnya harus lebih bersedia.

1 comment:

LinkWithin

Blog Archive

LinkWithin

LinkWithin

PunchTab