Tuesday, 16 August 2011

Budak 8 Tahun Melecur Dimuka Terkena Mercun Bola


CEDERA...Al Muhammad Fakrul Aiman   dirawat di HUSM. 
CEDERA...Al Muhammad Fakrul Aiman dirawat di HUSM.
KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun sempat berlari sejauh kira-kira 50 meter sambil menahan kesakitan selepas mukanya melecur manakala kedua-dua tangannya cedera akibat bermain mercun bola di Kampung Jeruk, Besut, Terengganu, kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Al Muhammad Fakrul Aiman Al Mohd Faizal bermain mercun bola seorang diri selepas membelinya menggunakan wang lebihan membeli kuih untuk juadah berbuka puasa.

Mangsa kini menerima rawatan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dekat sini, sejak jam 8 malam kelmarin.


Bapa mangsa, Al Mohd Faizal Mat Razi, 32, berkata, sebelum kejadian anak sulung daripada tiga beradik itu baru selesai membeli kuih yang dipesan ibunya, Yanti Narawi, 30, kira-kira jam 5 petang.

“Selepas membeli kuih dia keluar dari rumah dan tak sangka rupa-rupanya bermain mercun bola di padang bola yang jaraknya kira-kira 50 meter dari rumah kami.


“Ketika itu saya berada di sawah sebelum isteri datang memberitahu anak kami cedera akibat terkena mercun bola. Saya menghantarnya ke Klinik Kesihatan Kampung Jeruk dan seterusnya dikejarkan ke Hospital Jerteh, Terengganu.



“Anak saya kemudian dirujuk ke HUSM kira-kira jam 8 malam semalam (kelmarin) untuk rawatan lanjut kerana mukanya melecur teruk, selain turut diberi alat bantuan pernafasan,” katanya ketika ditemui di wad HUSM, semalam.

Menurut Al Mohd Faizal, sebelum ini dia pernah melarang anaknya bermain mercun kerana ia boleh mengundang padah.



Bagaimanapun, katanya, anaknya secara senyap-senyap membeli mercun bola menggunakan wang baki membeli kuih untuk juadah berbuka.

“Dia bermain mercun seorang diri, sebelum berlari pulang ke rumah dalam keadaan kesakitan selepas melecur di muka dan cedera di tangan kanan dan kiri akibat terkena mercun bola,” katanya.


Difahamkan, kejadian menimpa Al Muhammad Fakrul Aiman itu kes kecederaan akibat bermain mercun pertama dilaporkan di Terengganu sejak bermula Ramadan 1 Ogos lalu.


Di Kelantan, sehingga kini, lima kes cedera akibat bermain mercun direkodkan dalam tempoh tidak sampai seminggu bermula 4 Ogos lalu.


Antaranya, seorang remaja, Nasrudin Mohd Nazli, 19, hilang tiga jari tangan kirinya dan cedera di muka selepas mercun bola yang dinyalakan ketika membonceng motosikal meletup di tangan sebelum sempat dilempar dalam kejadian di Kampung Dewan Beta, dekat sini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Archive

LinkWithin

LinkWithin

PunchTab