Friday 19 August 2011

1,000 Pelajar Tuntut Baki Wang PTPTN Dikembalikan Pihak Kolej

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,000 pelajar salah sebuah kolej swasta di Negeri Sembilan meminta supaya pihak pengurusan kolej itu mengembalikan semula baki pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) milik mereka dengan segera.
Nasib pelajar itu mendapat perhatian Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) selepas persatuan menerima lebih 50 aduan daripada ibu bapa berhubung tindakan kolej berkenaan yang dipercayai menyimpan baki pinjaman.
Pegawai Kerja PPIM Mohd Mustaffa Hamzah berkata, selepas menerima aduan terbabit pihaknya beberapa kali menghubungi pihak pengurusan kolej berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian tetapi menemui jalan buntu. 

“Kolej itu hanya dibenarkan mengambil peruntukan pinjaman bagi pembayaran yuran saja, manakala bakinya 25 peratus menjadi hak pelajar bagi kegunaan pembelajaran. 

“Contohnya, jika jumlah pinjaman RM10,000 sepatutnya RM2,500 diberikan kepada pelajar tetapi perkara itu tidak dilakukan pihak kolej terbabit. Tindakan kolej itu menyusahkan pelajar, ” katanya pada sidang akhbar, di sini semalam.

Pelajar Tahun Tiga Perisian Kejuruteraan, Amirul Aizat Yahya, 20, mengakui beliau sukar meneruskan pengajian dan bercadang melakukan kerja separuh masa di restoran segera bagi menampung kos pengajiannya. 
“Saya memerlukan sumber kewangan yang agak banyak untuk menyiapkan projek akhir saya terutama pembelian peralatan selain tidak mahu menyusahkan ibu bapa, ” katanya. 

Bapa kepada salah seorang pelajar, Ismail Mohd Deni, 53, berkata agak hairan dengan tindakan pihak kolej menukar tawaran sumber pinjaman daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) kepada PTPTN pada saat akhir. 

“Pada masa itu, jika kami tidak ambil pinjaman PTPTN, pihak kolej memberitahu pelajar tidak akan dapat ambil peperiksaan, jadi saya pun ikutlah, sampailah ketika permohonan, pihak kolej suruh kami membuka lagi akaun CIMB di Salak Tinggi saja, jadi saya rasa seperti ada udang di sebalik batu, ” katanya. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Archive

LinkWithin

LinkWithin

PunchTab