Tuesday 16 August 2011

Chong Wei Tak Sedar Jari Berdarah



TIADA siapa yang lebih mengetahui situasi sebenar Datuk Lee Chong Wei ketika bermati-matian mahu menewaskan Lin Dan pada aksi final Kejohanan Dunia, kelmarin selain jurulatihnya sendiri, Tey Seu Bock.


Ketika peminat pemain nombor satu dunia itu bersorak memberi sokongan kepada Chong Wei sepanjang perlawanan yang menyaksikannya tumpas 22-20, 14-21, 21-23 di tangan jaguh China itu, Chong Wei sebenarnya mempamerkan semangat cukup jitu.

“Sebenarnya beberapa jari kaki kanannya berdarah akibat kesungguhannya ketika menentang Lin Dan. Chong Wei sendiri tidak sedar mengenainya sehinggalah tamat perlawanan.


“Bila saya menyaksikan kesungguhannya sehingga ke tahap itu, saya berasa kasihan kerana tidak dapat muncul sebagai juara dunia.

“Saya tidak berasa kecewa dengan pencapaiannya itu, sebaliknya amat berbangga kerana Chong Wei sudah memberikan segala-galanya. Dia kalah secara terhormat,” katanya.


Jelas Seu Bock, meskipun Lin Dan sebelum perlawanan itu menyatakan dia tidak terlalu ghairah untuk mengenggam kejuaraan itu namun berdasarkan pemerhatian beliau, Lin Dan jelas sekali bermain bermati-matian untuk menumbangkan anak buahnya pada aksi final.





“Saya sudah masak dengan strateginya. Lin Dan apabila bertemu Chong Wei, dia akan mempamerkan peningkatan cukup ketara. “Mujur Chong Wei cukup tenang sepanjang perlawanan. Tetapi malangnya tuah saja tidak memihak kepadanya,” katanya.

Jelas Seu Bock lagi, perlawanan kelmarin juga membuktikan tahap kedua-dua pemain hampir sama tetapi hanya tuah memisahkan kedua-dua pemain terhebat dalam era ini.



“Tidak banyak beza antara kedua-duanya, baik Chong Wei mahupun Lin Dan, sesiapa saja boleh meraih kemenangan andai bertemu lagi selepas ini.

“Apapun, saya yakin Chong Wei akan kembali bangkit untuk Sukan Olimpik tahun depan,” katanya.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Archive

LinkWithin

LinkWithin

PunchTab