Monday, 15 August 2011

Fida Jawab Isu Peluk Dan Cinta Mamat


KEBIASAANNYA artis yang menutup aurat jarang dilihat tampil di dalam kaca televisyen melakukan adegan berpelukan mahupun berpegangan tangan. Namun, bagi pendatang baru industri lakonan, Fida atau nama sebenarnya Rafidah Ibrahim dilihat telah memecah norma sopan yang telah dibentuk sejak awal dia memasuki industri ini beberapa tahun lalu.
Fida telah melakukan babak berpelukan bersama aktor Iqram Dinzly di dalam drama bersiri Kasih Alia yang sedang ditayangkan di saluran TV3.
Melihatkan babak tersebut, ramai yang berpendapat mungkin tidak manis bagi seorang wanita muslimah bertudung litup bersetuju untuk melakukan adegan itu. Namun, bagi gadis berumur 27 tahun ini, dia ada alasan tersendiri terhadap persoalan mengapa babak tersebut terjadi.
"Pertama sekali, Fida ingin meminta maaf jika ada peminat yang terasa dengan apa yang berlaku. Sebenarnya, perkara itu terjadi secara spontan. Ketika itu babak kami dihalau dari wad dan ia babak yang sangat sedih.
"Mungkin kerana terlalu menjiwai, Iqram secara tidak sengaja tertarik Fida dan jika dilihat dari mata kasar memang nampak seperti kami berpelukan, namun pada hakikatnya tidak. Tapi bila perkara-perkara sebegini berlaku, Fida sebagai pelakon perlu bersedia menghadapi semua ini," jelas anak kelahiran Kuala Lumpuri itu yang mengatakan semua ini dipelajari dari kesilapan lalu.
Tambah Fida, pengalaman sebelum ini telah memberi kesedaran buat dia untuk menghormati dan mendengar arahan 'cut' dari pengarah. Katanya, sebagai orang baharu yang hanya berbekalkan pengalaman dua tahun dalam industri lakonan, siapalah dirinya untuk mendahului pengarah.
Cerita gadis itu lagi, pernah beberapa kali sebelum ini memberhentikan babak yang dilakonkan kerana dirasakan tidak sesuai dengan dirinya. Namun, insiden itu telah menyebabkan dirinya ditegur beberapa kali dan pernah juga dimarahi.
FIDA dan Mamat sudah berkawan rapat sejak enam bulan lalu.


Menjelaskan apa yang berlaku, cerita Fida sebenarnya dia menggunakan tekniknya tersendiri untuk melakonkan babak tersebut. Apa yang dilihat mungkin tidak sama dengan apa yang berlaku. Jelas Fida, Iqram ketika itu tidak memeluknya erat.
"Apa yang boleh Fida lakukan ialah Fida gunakan teknik sendiri. Jika perasan, Fida meletakkan tangan kiri di bahagian hadapan badan dan Iqram hanya meletakkan tangannya ke bahu Fida. Fida terkejut sebenarnya dengan tindakan Iqram namun Fida tidak boleh berbuat apa-apa.
"Perkara tersebut berlaku secara tidak sengaja dan sebagai pelakon baharu, Fida perlu ikut apa yang dimahukan pengarah, namun perkara tersebut berlaku dengan cepat kerana apabila kita melakonkan sesuatu babak terutamanya yang bermain dengan emosi, kadangkala ia terlepas," jelas Fida mengenai babak yang menjadi kontroversi itu.
Apa yang pasti, jika pernah mengenali dan berjumpa dengan juara Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene ini, dia agak terbuka jika dibanding dengan aktres muda muslimah yang lain. Fida tidak kisah untuk bersalaman dan bergambar rapat bersama lelaki.
Menjawab persoalan tersebut, Fida yang ditemui pada majlis rakaman Melodi Raya terbitan TV3 baru-baru ini menjelaskan, pada pendapat dirinya, apabila seseorang menghulurkan tangan untuk bersalaman, jika kita menolak ia ibarat mengaibkan lelaki itu di hadapan orang ramai yang terlihat.
"Memang perkara seperti itu tidak patut berlaku, namun bagi pendapat Fida, banyak lagi perkara lain yang kita perlu ikut dan rasanya ini bukanlah perkara besar.
"Ini kerana, banyak lagi perkara berat yang kita perlu dititikberatkan. Cuma, jika perkara sebegini berlaku, janganlah kita terlalu ingin menjaga maruah dan tatasusila sehingga mengaibkan orang lain," ujar Fida jujur mengakui perkara yang dilakukannya.
FIDA dan Mamat kelihatan intim sepanjang rakaman program Melodi Raya baru-baru ini.


Serius dengan Mamat
Cerita cinta Fida dan Mamat dari Kumpulan Sepah bukanlah perkara baharu yang perlu disorokkan lagi. Walaupun begitu, kisah percintaan mereka masih kabur dan tidak begitu jelas memandangkan kedua-duanya tidak memberikan jawapan yang pasti sebelum ini dan hanya gambar dan khabar angin yang tersiar dalam laman web.
Namun, baru-baru ini, Mamat sendiri pernah mengeluarkan kenyataan dia mahu merisik Fida untuk dijadikan isteri. Namun, bagi Fida, seperti perjalanan kariernya yang masih baharu, begitu juga perhubungannya bersama Mamat.
Ujarnya, tempoh enam bulan merupakan tempoh yang masih segar dalam sesebuah perhubungan dan mereka berdua telah mengambil kata sepakat untuk mengenali hati budi masing-masing terlebih dahulu.
"Saya akui dia lelaki yang paling rapat dengan saya setakat ini. Tapi kami ingin kenal dengan lebih dekat lagi. Fida tertarik dengan kejujuran yang ditunjukkan oleh Mamat.
"Oleh itu, Fida beri peluang kepada dirinya dan diri Fida sendiri ruang untuk mengenali diri masing-masing. Sebelum ini juga, Fida tidak pernah dikaitkan dengan sesiapa," tutur Fida sambil tersenyum manis saat berbicara mengenai kisah cintanya.
Katanya dia tertarik dengan Mamat kerana walaupun perangainya yang mungkin gila-gila, namun dia punyai satu bahagian lain yang menampilkan ciri-ciri kemelayuan.
Diambil sebagai contoh, semasa membuat promosi filem terbaharu mereka, Fida tertarik dengan tandatangan yang diturunkan oleh Mamat yang dtulis dalam tulisan jawi. Pertama kali terlihat seorang artis berbuat begitu, hatinya terus terpaut meminati jejaka tinggi lampai itu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Archive

LinkWithin

LinkWithin

PunchTab