Sunday 14 August 2011

Beckham Merayu Selamatkan Kanak-Kanak Somalia Dari Kebuluran


Surat terbuka David Beckham: Bantulah kami selamatkan kanak-kanak Somalia yang menderita kebuluran


“SAYA menulis kepada anda sebagai Duta Muhibah Unicef dan juga seorang bapa untuk rayuan mendapatkan bantuan segera.

Kanak-kanak di Somalia dan Afrika Timur kini menghadapi krisis makanan yang tidak mungkin anda dapat bayangkan.


Seperti yang anda tahu dalam laporan akhbar beberapa hari lalu, kebuluran melanda Somalia dan kemarau terburuk dalam tempoh 50 tahun menyebabkan berjuta rakyat berdepan musibah.

Hampir dua juta kanak-kanak di Somalia tidur kelaparan sejak beberapa minggu lalu dan kini, ketika anda membaca mesej ini, kanak-kanak ini menderita kelaparan.


Setiap enam minit, seorang kanak-kanak di selatan Somalia maut akibat kelaparan. Fikirkanlah. Ramai lagi yang akan mati pada minggu berikutnya melainkan jika saya dan anda melakukan sesuatu untuk membantu.



Saya tidak mahu Brooklyn, Romeo, Cruz atau Harper tidur tanpa menikmati makan malam. Saya tidak boleh memikirkan bagaimana keadaan kanak-kanak itu tanpa sebutir nasi dalam perut mereka, tidur dalam keadaan lapar, setiap hari, setiap minggu.

Mereka perlukan bantuan kita. Mereka perlukan perhatian kita. Mereka perlukan tindakan kita.



Keadaan itu tidak dialami di Somalia semata-mata tetapi merebak ke seluruh rantau ‘Horn of Africa’ seperti Kenya, Habsyah, Eritrea dan Djibouti.

Situasi itu cukup genting dan berjuta-juta kanak-kanak dalam keadaan terdesak. Keluarga mereka kacau bilau, ternakan mereka mati dan tiada apa yang mampu menampung kehidupan mereka. Bagi yang mempunyai kekuatan akan berjalan jauh untuk mendapatkan bantuan dan bagi yang tidak, mereka akan tinggal di kampung dan mengharapkan bantuan tiba tepat pada masanya.


Rakyat Somalia turut berdepan kekejaman perang saudara dan ini bermakna banyak agensi bantuan terpaksa meninggalkan negara itu.


Satu agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu kehilangan 13 pekerja bantuan mereka akibat dibunuh.


Bagaimanapun, Unicef yang membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di seluruh dunia dan berusaha keras untuk membendung impak malapetaka itu dan saya bangga dengan tugas mereka.


Saya pernah pergi ke Sierra Leone dan Afrika Selatan dan melihat tugas yang dijalankan Unicef. Saya melihat kesan kekurangan zat makanan di depan mata dan ia bukan sesuatu yang menggembirakan.


Saya lihat tidak banyak yang dilakukan untuk menyelamatkan nyawa kanak-kanak ini dan mereka boleh sakit atau mati jika tidak mendapat benda yang mudah seperti susu, makanan, air bersih dan vaksinasi bagi menghalang penyakit itu.


Itulah sebabnya saya menjadi Duta Muhibah Unicef. Saya mahu membantu Unicef membela nasib kanak-kanak yang kebuluran.


Menyaksikan kanak-kanak selamat dari kematian dan kembali menjadi kanak-kanak yang gembira adalah sesuatu yang luar biasa, Dalam tempoh beberapa minit ketika anda membaca surat ini, ramai yang sudah mati. Sebaik anda habis membaca surat ini, ada lagi yang mati kerana kelaparan. Kita boleh menghalangnya dengan membantu badan kebajikan menggandakan usaha mereka.


Unicef memberikan makanan khas buat kanak-kanak yang kekurangan zat makanan selain air minuman, penjagaan kesihatan dan keselamatan. Mereka melakukannya di Somalia ketika ini dan ketika banyak pertubuhan gagal memasuki negara itu, mereka berada di sana.


Dalam tempoh beberapa minggu saya mengalami kegembiraan luar biasa apabila menjadi bapa sekali lagi, buat kali keempat.


Saya sedar tiada apa yang tidak akan saya lakukan demi anak-anak saya, saya memikirkan mengenai mereka sepanjang masa dan saya fikir anda turut merasai perkara yang sama dengan anak-anak anda.


Bagi keluarga di Somalia yang berdepan masa depan yang genting dan tidak menentu, mereka juga memerlukan ingatan daripada anda dan mereka mahu anda bertindak. Apa yang berlaku kepada kanak-kanak itu ketika ini begitu teruk. Tolonglah Unicef untuk membantu kanak-kanak ini.


Kita perlu bertindak sekarang. Saya janji, sumbangan anda mampu menyelamatkan nyawa.”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Archive

LinkWithin

LinkWithin

PunchTab