Tuesday 16 August 2011

Black Takut Lupa Diri


MENGAKU sudah mempunyai teman wanita, namun Black enggan mendapat publisiti meluas tentang kisah cintanya.



HANIFAH MD. HANAFIAH atau akrab disapa Black bukan satu nama asing dalam lapangan nyanyian. Usai dinobat menjadi juara program realiti televisyen Mentor lebih dua tahun lalu, nama Black memuncak. Menariknya, Black menjadi satu-satunya juara program tersebut yang sukses menuai keberhasilannya mencatur diri dalam program realiti.
Dalam tempoh lebih dua tahun itu juga, kehidupannya berubah total. Daripada seorang remaja lelaki biasa yang hanya menghabiskan masa bermain bola dan membantu keluarga menyara kehidupan dengan berniaga, Black yang cukup popular menerusi lagu Sofea Jane dan Aku Rindu Sayang Kamu kini bertukar kulit.
Namun, ironi, kata si bujang berusia 24 tahun ini, yang berubah itu hanya pada luaran. Dalaman seorang Black, dia masih anak bujang biasa yang menganggap nyanyian sebagai satu pekerjaan yang memberi dia pulangan kewangan cukup baik berbanding dahulu. Dia tidak mahu lupa diri walau mengaku pernah lalai dan larut dalam dunia glamor yang dijalaninya kini.
"Saya selalu beringat dan sedar dari mana asal usul saya. Saya tidak lahir sebagai orang senang, saya orang susah, jadi saya selalu sedar itu. Justeru apabila hari ini saya menjadi sedikit terkenal dan diberi rezeki yang banyak, saya selalu ingatkan diri agar jangan lupa diri.
"Saya akui, setahun lalu saya sempat lupa diri dan bermewah dengan rezeki yang saya dapat. Namun pada satu saat saya tersedar bahawa saya tak perlu larut dan bermewah sedemikian. Saya sepatutnya menabung dan mengumpul aset sebagai persediaan masa hadapan, itu yang saya sedang lakukan sekarang," katanya yang cukup merendah diri.
Ujar Black, oleh kerana tidak mahu alpa dan terkena kejutan budaya kerana populariti yang dikecapi kini, dia memilih untuk tidak keluar daripada rumah keluarganya. Dia sekeluarga juga masih menetap di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kerinchi, Kuala Lumpur dan tidak segan bergaul dengan jiran-jiran di penempatan tersebut. Label seorang penyanyi bukan lesen untuk dia mendabik dada dan mengasingkan diri kerana mahu duduk dalam kelas tersendiri.
Takut sindrom lupa diri
Menurutnya, dia bimbang jika dia hidup sendiri, dia akan terbuai dengan kemewahan dan populariti yang dikecapi. Justeru, untuk membuat dia tetap berpijak di bumi nyata, tinggal bersama ibu bapanya adalah pilihan paling tepat.
"Saya fikir kalau saya keluar dari rumah mak dan duduk sendiri, saya adalah seorang yang bodoh. Ia mungkin akan membuat saya lalai dan saya tidak dapat menikmati kehidupan normal saya selama ini iaitu bergaul dengan jiran-jiran lama, berkawan dengan pelbagai lapisan masyarakat dan jadi lupa diri. Saya amat takut sindrom lupa diri. Jadi saya memilih untuk terus bersama keluarga dan saya tak mahu ikut orang kerana kalau saya ikut orang atau nafsu, saya akan mati," ulasnya panjang lebar.
Malah untuk tidak meletakkan dirinya dalam label selebriti, dia kini masih meneruskan tradisi tahunan setiap kali Ramadan iaitu berniaga di bazar Ramadan.
Masih setia berniaga di bazar Ramadan Kerinchi, Black masih menjual tembikai dan untuk tahun ini kerana dia punya banyak kelapangan di bulan Ramadan, Black kembali menjual ikan bakar yang sudah dua tahun tidak dilakukannya kerana sibuk.
"Jadual bulan puasa saya tahun ini memang tidak padat. Jadi ia memberi saya kesempatan untuk kembali menjual ikan bakar yang memerlukan penyediaan agak remeh. Pada masa yang sama, saya masih menjual tembikai. Saya tak malu berniaga kerana saya suka lakukannya," ujar Black yang telah membeli sebuah kediaman untuk keluarganya.
Cinta Black
Saat diaju tentang cinta, Black tersenyum, namun memberi jawapan yang matang. Dia memberitahu, kehadiran seorang wanita dan cinta amat penting buat dirinya.
Mendahulukan Allah S.W.T sebagai cinta agung, dia mengaku hatinya kini telah terisi dengan cinta seorang wanita yang dikenali sebelum dia memasuki pertandingan Mentor.
Namun dia memilih untuk tidak menggembar-gemburkan kisah peribadi kerana takut jika cinta mereka kecundang, ia memberi impak yang kuat terhadap mereka. Akui Black, dia adalah lelaki setia kepada cinta.
"Saya adalah lelaki yang jenis memerlukan wanita dalam hidup. Bagi saya cinta daripada wanita itu selalu memberi semangat buat saya. Malah buat masa ini, saya yakin untuk bercinta kerana sudah stabil dari segi fizikal dan mental," katanya yang bagaimanapun memberitahu takut untuk berkahwin pada usia muda.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Archive

LinkWithin

LinkWithin

PunchTab