Tuesday 16 August 2011

Gurauan Suami Mati Terbakar Sebelum Aidilfitri Jadi Kenyataan


PASIR PUTEH: Gurauan seorang suami kepada isteri bahawa dia mungkin mati terbakar sebelum Aidilfitri menjadi kenyataan apabila rentung selepas terbabit kemalangan di Kilometer 25, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, Kampung Jerus, di sini, malam kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam itu, mekanik, Tuan Mat Samsol Tuan Ismail, 35, rentung selepas kereta Proton Wira dinaiki bersama tiga rakan terbabas sebelum terbalik dan terbakar.

Tiga rakan mangsa, Mohd Iqram Ismail, 28, Zuraidi Zakaria, 17, dan Mohd Nazirul Munir Mohd Nasir, 18, hanya cedera dan dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian (HUSM). Mayat Tuan Mat Samsol dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA), di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga. Sebelum kejadian, Tuan Mat Samsol dalam perjalanan dari rumahnya ke Kampung Pak Badol, Bachok untuk makan rojak colek bersama adiknya, Tuan Mat Ruzman, 26, sepupu serta beberapa rakan sekampung dengan menaiki tiga kereta secara berkonvoi.




Tuan Mat Samsol menaiki kereta Proton Wira dipandu Mohd Iqram bersama Zuraidi dan Mohd Nazirul Munir. Sebaik tiba di sebuah stesen minyak di Kampung Jerus, di sini, kereta dipandu Mohd Iqram cuba mengelak sebuah kenderaan dari arah Kota Bharu yang membelok secara mengejut ke stesen minyak itu.

Akibatnya, Mohd Iqram gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh tembok pembetung parit sehingga terbalik. Zuraidi tercampak keluar dari kenderaan, manakala Mohd Nazirul Munir dan Mohd Iqram dikeluarkan orang ramai.


Tuan Mat Samsol yang tersepit di tempat duduk penumpang hadapan tidak dapat diselamatkan apabila kereta yang terbalik itu meletup dan terbakar.



Isteri Tuan Mat Samsol, Rusmawati Kamarudin, 29, berkata, suaminya ada bergurau memberitahu mungkin mati terbakar sebelum Aidilfitri ketika berbuka di rumah mereka di Bukit Abal, di sini, tiga hari lalu.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak memandang serius kata-kata suaminya itu memandangkan Tuan Mat Samsol yang juga anak sulung daripada 11 beradik memang suka bergurau.



“Selain bergurau mati terbakar tiga hari lalu, semalam (kelmarin) suami tiba-tiba mencium pipi saya selepas berbuka.

“Tak sangka gurauannya menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HTA, semalam.


Menurut Rusmawati, dia sekeluarga dimaklumkan mengenai kejadian menimpa Tuan Mat Samsol oleh adik iparnya, Tuan Mat Ruzman, sebelum dia dan ibu mentua, Azizah Yusoff, 53, pengsan kerana terkejut.


Katanya, ibu mentuanya rapat dengan suaminya kerana dia anak harapan dalam keluarga, selain mudah dibawa berunding dan suka membantu adik-beradik lain.


“Tragedi ini kali kedua menimpa suami apabila nyawanya hampir melayang dua tahun lalu selepas terbabit dalam kemalangan di Bukit Merbau, sehari sebelum Ramadan,” katanya.


“Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya dan menganggap kejadian itu sebagai surat takdir,” katanya.Mangsa turut meninggal empat anak iaitu, Tuan Muhamad Amierul Hayatt, 8, Tuan Nur Amierah Balqis, 6, Tuan Nur Amna Ainunnisya, 4, dan Tuan Nur Auni Batrisya yang baru berusia lima bulan.


Tuan Mat Ruzman pula berkata, dia berada selang tiga kenderaan dengan kereta dinaiki abang sulungnya itu.


Katanya, tiba-tiba dia ternampak kepulan asap sebelum menjangkakan mungkin ada kemalangan kecil, namun terkejut sebaik mendapati kenderaan dinaiki abangnya terbakar.


“Saya difahamkan, Zuraidi tercampak keluar dari kenderaan manakala Mohd Nazirul Munir berjaya dikeluarkan orang ramai diikuti Mohd Iqram sebelum kereta meletup sebanyak dua kali.


“Saya berlari menyelamatkan abang, namun api semakin marak. Apabila bomba tiba, barulah abang ditemui, tetapi dalam keadaan menyayat hati,” katanya.


Menurut Tuan Mat Ruzman, sebelum kejadian dia dan abangnya sempat menikmati durian di rumah ayah mereka sebelum berpakat makan rojak colek di sebuah kedai makan di Kampung Pak Badol.


“Ketika keluar untuk makan rojak colek, saya lihat abang memakai baju terbalik dan seorang rakan sempat menegurnya sebelum dia memberi respon spontan, `mungkin ada sesuatu hendak terbalik’,” katanya yang terkilan kerana gagal menyelamatkan abangnya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Archive

LinkWithin

LinkWithin

PunchTab