Saturday 6 August 2011

Usop Tidak Sangka Kembali Menyanyi



TIADA siapa menyangka pada usia 46 tahun, pemilik nama Syed Mohamad Asri atau nama komersialnya, Shy8 mula mengecapi populariti menerusi wataknya sebagai Usop Wilcha dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid.


Bagaimanapun, umur bukanlah penghalang untuk seseorang menjadi perhatian ketika berada dalam kalangan orang ramai di tempat awam. 
Tuan punya badan itu sendiri tidak menyangka langkah kakinya tidak sama seperti dulu. Malah, tidak ada sehari yang dilaluinya tanpa fotonya diambil bersama peminat sejak pencinta filem tempatan mula terpikat dengan Usop Wilcha.

Nama Usop Wilcha yang sudah sinonim dengan Syed lebih banyak memberikan impak dalam hidupnya berbanding Shy8. Keperibadian dan kualiti yang ditonjolkan Syed menyebabkan dia ditawarkan menjadi penyampai radio Hot Fm mengisi segmen Am Krew berganding dengan tiga penyampai sedia ada, Fara Fauzana, Faizal Ismail dan AG.



Baru sebulan lebih menyertai keluarga Hot Fm, bulan ini kali pertama dia berpuasa dan bakal menyambut Aidilfitri sebagai penyampai Hot Fm. Seronok dengan tugas itu, Syed tidak mempunyai sebarang masalah ketika bekerja pada bulan puasa walaupun pekerjaannya itu memerlukan dia bercakap.


“Setakat ini belum terasa lagi cabaran besar bekerja pada bulan puasa apatah lagi kerja saya ini banyak bercakap dan jika tidak minum air yang cukup sebelum bekerja, mungkin saya akan mengalami masalah sakit tekak.

“Biasalah bila berhadapan dengan tekak kering, tetapi tidaklah terasa sangat kerana masih ada tiga rakan saya yang akan membantu sekiranya salah seorang mengalami masalah itu.

“Bukannya saya bekerja seorang diri. Itulah kebaikan apabila kita bekerja dengan beberapa orang lain kerana mereka sentiasa ada untuk saling menyokong dan membantu satu sama lain,” katanya ketika majlis pradengar dua single terbaru penyampai Hot Fm.

Dalam majlis itu Syed turut membawa isteri, Noorafizah Abdul Aziz dan anaknya, Syed Callith Umar untuk sama-sama berbuka puasa sempena pelancaran Hangatnya Raya Di Hatiku Berbicara mengenai pembabitannya dalam single terbaru Hot Fm, bukan satu masalah besar bagi Syed untuk menyanyi kerana sebelum terjun ke bidang lakonan, Shy8 ialah seorang penyanyi dan pernah mempunyai album Terasing Di Bumi Sendiri edaran syarikat rakaman Ambang Klasik pada 1996.

Katanya, dia menemui kegagalan sebagai penyanyi mungkin disebabkan album yang dihasilkan itu ‘syok sendiri’.

“Saya buat album syok sendiri, siapa yang mahu dengar. Saya memulakan kerjaya sebagai penyanyi, tetapi kecundang. Selepas itu saya bekerja secara bebas di satu syarikat demi kesinambungan hidup saya.

“Tapi, saya langsung tidak menyangka selepas meninggalkan dunia nyanyian, saya diberi peluang untuk bernyanyi bersama-sama dengan penyampai Hot Fm yang lain,” katanya.

Berbicara mengenai dua single terbaru penyampai Hot Fm sempena Aidilfitiri, mereka bukan hanya petah berkata-kata, tetapi juga boleh menghiburkan pendengar dengan nyanyian.

Mungkin kelantangan vokal mereka tidak sehebat insan yang bergelar sebagai penyanyi, tetapi pandangan setiap orang itu berbeza. Melihat senyuman yang terukir ketika mendengar lagu yang mereka dendangkan, sudah lebih daripada cukup.

Tahun lalu, penyampai Hot Fm berkolaborasi dengan beberapa nama yang cukup dikenali dalam industri tanah air antaranya, Faizal Tahir, Stacy, Black Mentor, Ayu, Tomok dan Shila untuk merakamkan beberapa lagu sempena Aidilfitri.
Ternyata cubaan pertama mereka membuahkan hasil apabila mendapat maklum balas yang memberangsangkan.

Bersempena dengan kedatangan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, sekali lagi Hot Fm meneruskan tradisi mereka dengan menghasilkan dua lagu istimewa.

Kolaborasi pertama Hot Fm bersama TV9 ini menampilkan lagu lama yang diberi nafas baru iaitu Suasana Di hari Raya nyanyian asal Anuar Zain dan Elina serta lagu baru hasil ciptaan Muhammad Ashraf Aasimudin (lebih dikenali sebagai Acap), Hangatnya Raya Di Hatiku.

Tidak cukup dengan gabungan suara penyampai Hot FM, Fara Fauzana, Faizal Ismail, AG, Leya, Kieran, Ikhwan, Chad, Deen dan Suraya, ia dihangatkan lagi dengan kemunculan watak siri animasi terkenal, Upin dan Ipin serta juara dan finalis Idola Kecil musim ketiga, Nor Harris Alif, Puteri Aszfaryna Khareeza, Abdul Hadi dan Angelica Paujin.

Menyedari hakikat kanak-kanak adalah insan yang paling gembira dalam menyambut Aidilfitri, idea berkolaborasi dengan TV9 direalisasikan bukan saja bagi memenuhi permintaan tetapi juga memenuhi cita rasa penonton. Pada masa sama, AG dan Leya dipilih sebagai ikon TV9 sempena Ramadan ini.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Archive

LinkWithin

LinkWithin

PunchTab